WCT berpotensi jadi penerima manfaat utama projek naik taraf Lapangan Terbang Subang – CIMB Securities | DagangNews Skip to main content

WCT berpotensi jadi penerima manfaat utama projek naik taraf Lapangan Terbang Subang – CIMB Securities

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mac - WCT Holdings Bhd (WCT) boleh muncul sebagai penerima manfaat berpotensi bagi cadangan projek pelan penjanaan semula Lapangan Terbang Subang (SARP) bernilai RM3.7 bilion, kata CIMB Securities.

 

SARP tersebut dicadangkan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan dibentangkan kepada Kabinet pada Februari tahun ini.

 

Minggu lalu, MAHB telah memeterai perjanjian operasi (OA) yang dirombak dengan kerajaan, mengukuhkan lagi peranannya dalam mengendali, mengurus, menyelenggara dan membangunkan 39 lapangan terbang serta lapangan terbang berlepas dan mendarat singkat (STOLports) di seluruh negara selama 35 tahun lagi sehingga 11 Februari 2069.

 

WCT menerusi anak syarikat miliknya, Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB), mempunyai perjanjian konsesi dengan MAHB yang akan berakhir pada 3 Disember 2037, dengan pilihan lanjutan selama 29 tahun.

 

"Anggaran kos pembangunan sebanyak RM3.7 bilion boleh membuka peluang buku pesanan baharu untuk kumpulan itu apabila kerja pembinaan dimulakan," kata CIMB Securties dalam nota penyelidikan.

 

Ia mendedahkan bahawa RM1.3 bilion daripada RM3.7 bilion itu telah diperuntukkan untuk perniagaan penerbangan dan segmen aeroangkasa, serta pembangunan infrastruktur dan pembukaan ruang baharu untuk pasaran penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih bernilai tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, WCT pernah mengendalikan projek berkaitan lapangan terbang sebelum ini seperti kontrak kerja tanah pukal untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pakej kerja tanah bagi terminal penerbangan tambang rendah baharu (KLIA2) bernilai RM360 juta dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu berjumlah RM704 juta.

 

Menurut CIMB Securities, buku pesanan semasa kumpulan itu termasuk menaik taraf Lapangan Terbang Kota Bharu bernilai RM440 juta, yang sepatutnya disiapkan menjelang 2025.

 

Secara berasingan, WCT telah bergabung tenaga dengan Gamuda Bhd untuk menjalankan kerja-kerja awam utama bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Doha (Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad) baharu, yang siap pada Januari 2011.

 

Bagi tahun ini, CIMB Securities memperoleh kontrak baharu bernilai RM1.5 bilion berbanding sasaran RM2 bilion pengurusan, kerana WCT tidak memenangi sebarang kontrak baharu dalam dua tahun kewangan sebelumnya.

 

“Makanya, kami tidak mengambil kira sebarang sumbangan daripada SARP sementara menunggu kemas kini selanjutnya. 

 

“Saham kini didagangkan pada harga ke buku hanya 0.3 kali dan pada 71% berbanding nilai aset bersihnya.”

 

CIMB Securities telah mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) 72 sen sesaham selepas menegaskan semula pandangannya bahawa jangkaan pelancaran SARP merupakan pemangkin penarafan semula utama bagi kumpulan itu.

 

“Sebaliknya, buku pesanan berterusan kumpulan itu mungkin masih terdedah kepada rancangan kerajaan untuk merasionalkan harga diesel (dijangka menjelang Mei), walaupun pihak pengurusan tidak menjangkakan sebarang penurunan ketara dalam margin pembinaan keseluruhan bagi tahun kewangan 2024 (FY24),” tambahnya. - DagangNews.com