Wellspire Holdings lengkapkan perjanjian taja jamin bersama TA Securities bagi terbitan IPO Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Wellspire Holdings lengkapkan perjanjian taja jamin bersama TA Securities bagi terbitan IPO Pasaran ACE

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Dis - Wellspire Holdings Berhad melengkapkan perjanjian taja jamin bersama TA Securities Holdings Berhad bagi terbitan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 124,600,000 saham biasa baharu dan tawaran untuk penjualan 124,600,000 saham biasa sedia ada.

 

Daripada 124,600,000 saham terbitan awam, 36,000,000 disediakan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian.

 

Sejumlah 10,000,000 saham akan diperuntukkan kepada pengarah yang layak, pekerja Wellspire dan anak syarikatnya menyumbang kepada kejayaan kumpulan manakala baki 78,600,000 saham terbitan awam akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
 

Menerusi perjanjian itu, TA Securities akan menaja jamin sejumlah 36,000,000 saham terbitan awam.

 

Wellspire Group merupakan pengedar makanan berbungkus pengguna di Thailand yang memberi fokus pada makanan ringan. 

 

Produk utamanya ialah biji bunga matahari di mana Wellspire Group adalah pengedar eksklusif biji dan kacang bunga matahari jenama ChaCha untuk pasaran Thailand. 

 

Kumpulan itu juga juga mengedarkan makanan ringan lain seperti biji dan kekacang lain serta produk bakar dan biskut yang terdiri daripada jenama pihak ketiga serta jenama sendiri.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pegawai Eksekutif , Mo Guopiao berkata, hasil daripada terbitan IPO itu akan digunakan untuk membina gudang dan kemudahan operasi di Thailand, membiayai modal kerja dan membiayai perbelanjaan penyenaraian.

 

Katanya, pemerolehan atau pembinaan gudang dan kemudahan operasi berfungsi sebagai pelaburan jangka panjang untuk meningkatkan asas aset syarikat.

 

Lokasi gudang dan kemudahan operasi ditetapkan berada di wilayah tengah Thailand atau dalam wilayah Pathum Thani yang terletak secara strategik berhampiran dengan pelabuhan Bangkok bagi  penerimaan pembelian daripada pembekal luar negara.

 

"Perjanjian taja jamin itu menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan kami ke arah menjadi entiti tersenarai, disokong oleh model perniagaan kami sebagai pengedar makanan berbungkus pengguna di Thailand," katanya.

 

TA Securities merupakan penasihat utama, penaja dan ejen penempatan untuk penyenaraian itu. - DagangNews.com