Penyerahan 'negative pressure ambulances' kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.
Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 14 Julai - Kumpulan Weststar Malaysia mempelopori generasi ambulans baharu dan terkini dengan pengenalan 'negative pressure ambulances' yang pertama di negara ini.
Pengenalan kenderaan tersebut melengkapkan petugas barisan hadapan perubatan negara dengan peralatan dan perlindungan canggih dalam usaha memerangi wabak COVID-19.
Ketua Pegawai Operasi Weststar Maxus, Julius Jonathan berkata, ambulans terbaharu itu menawarkan dua peringkat perlindungan bagi petugas barisan hadapan dan responden pertama ketika pesakit dibawa ke ruang pengasingan khas yang turut dilengkapi dengan sistem penapisan tekanan negatif.
Kelebihan tersebut mampu mencegah jangkitan bersilang ketika mereka dipindahkan ke atau dari ambulans.
"Dua peringkat perlindungan ini memberi kemungkinan yang rendah terhadap jangkitan bersilang dan penyebaran patogen ketika proses pemindahan, pengangkutan dan rawatan pesakit yang mengalami penyakit berjangkit atau COVID-19 sekali gus mengurangkan risiko kakitangan perubatan," katanya dalam satu kenyataan.
Digunakan secara meluas oleh institusi perubatan di seluruh dunia dalam usaha memerangi COVID-19 khususnya di China dan Timur Tengah, 'negative pressure ambulances' membolehkan tekanan udara di dalam ambulans disimpan di bawah tekanan barometrik.
Keadaan tersebut bermaksud kabin ambulans menjadi ruang tertutup kedap udara dan hanya udara luar sahaja yang dapat memasuki ruangan kabin.
Udara di dalam kabin hanya akan dikeluarkan di luar ambulans melalui alat pembersih ekzos bio-safety dan dibersihkan melalui penapis HEPA bagi mencegah penularan patogen dan jangkitan lain.
Dalam pada itu, sinar ultraviolet yang dipasang membolehkan proses pembasmian kuman dilakukan secara automatik dalam kabin selepas setiap penggunaan.
Di Malaysia, 'negative pressure ambulances' kini digunakan di hospital kerajaan dan swasta di seluruh negara termasuk Jabatan Kesihatan Selangor dan Universiti Malaya Specialist Centre.
First Ambulance Services yang beroperasi dengan kapasiti 44 ambulans dan 140 paramedik kini menjadi organisasi terbaharu mendapatkan ambulans berkenaan. - DagangNews.com