WTO memihak Malaysia dalam kes diskriminasi Eropah terhadap minyak sawit - Johari Ghani | DagangNews Skip to main content

WTO memihak Malaysia dalam kes diskriminasi Eropah terhadap minyak sawit - Johari Ghani

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mac - Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) memihak tuntutan Malaysia yang membantah tindakan Eropah mendiskriminasi biofuel minyak sawit Malaysia menerusi Akta Delegasi Eropah.

 

Sehubungan itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia akan memantau dengan teliti perubahan peraturan EU sejajar dengan keputusan WTO.

 

Beliau berkata, panel WTO pada 5 Mac 2024 telah mengeluarkan laporan terakhirnya dan membuat kesimpulan bahawa akta EU yang menyekat biofuel minyak sawit, sememangnya bersifat diskriminasi.

 

"Ketetapan WTO ini menunjukkan bahawa dakwaan diskriminasi oleh Malaysia sememangnya wajar. Ia membuktikan Malaysia mengejar keadilan untuk peniaga, syarikat dan pekerja biodiesel," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kenyataan Johari secara tidak langsung menolak laporan awal dpa news bahawa aduan oleh Malaysia terhadap EU berhubung peraturan penggunaan biofuel berasaskan minyak sawit sebahagian besarnya gagal di WTO.

Pertikaian itu bermula pada 2018, apabila EU mengeluarkan peraturan mengenai jumlah minimum bahan api boleh diperbaharui yang mesti digunakan oleh negara anggota dalam sektor pengangkutan mereka.

 

EU menetapkan bahawa penggunaan biofuel hasil daripada penanaman semula daripada penebangan hutan tidak boleh digunakan bagi mencapai sasaran itu, terutamanya melibatkan tanaman kelapa sawit.

 

Malaysia yang mempunyai industri pengeluaran minyak sawit utama mempertahankan bahawa langkah itu melanggar amalan perdagangan adil dan mengemukakan saman terhadap WTO pada 2021.

 

"Laporan akhir WTO jelas menemui kesalahan EU terhadap penggunaan perubahan guna tanah secara tidak langsung bagi mengharamkan biofuel minyak sawit. Ia juga mendapati pendekatan EU berunding dengan ekonomi lain menerusi pengenalan langkah perdagangan baharu adalah salah.

 

"EU bersetuju untuk mematuhi peraturan WTO sebelum ia boleh mengenakan sekatan dalam menerima biofuel minyak sawit Malaysia. 

 

"Kerajaan Malaysia akan memantau dengan teliti perubahan peraturan EU agar sejajar dengan penemuan WTO, dan meneruskan prosiding pematuhan sekiranya perlu," katanya.

 

Johari berkata, kerajaan komited untuk mempertahankan kepentingan pemain industri biofuel minyak sawit daripada halangan perdagangan dan diskriminasi. - DagangNews.com