YIM hasilkan Dapur Pintar pertama di Malaysia untuk bantu golongan B40 | DagangNews Skip to main content

YIM hasilkan Dapur Pintar pertama di Malaysia untuk bantu golongan B40

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Nov - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) berjaya menghasilkan Dapur Pintar pertama di Malaysia bagi membantu komuniti B40 dalam menghasilkan inovasi produk makanan.

 

Menterinya, Datuk Seri Adham Baba berkata, pembinaan Dapur Pintar berkonsepkan dapur berpusat itu bertujuan menambah nilai bahan pembuatan dan pembungkusan produk makanan tradisional agar menjadi lebih berkualiti dengan penggunaan alatan berteknologi tinggi.

 

"Saya berharap masyarakat setempat dapat menggunakan peluang teknologi sedia ada seperti Dapur Pintar bagi mendapatkan pendedahan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE)," katanya ketika merasmikan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di Parlimen Tenggara, Kota Tinggi, Johor  baru-baru ini.

 

Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di Kota Tinggi komuniti Keluarga Malaysia meningkatkan taraf hidup dan pendapatan apabila produk makanan mereka dipasarkan. 
 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Sharmila Mohamed Salleh berharap, komuniti yang majoritinya terdiri daripada golongan B40 akan menggunakan alatan automasi dan mesin yang berteknologi di Dapur Pintar itu untuk meningkatkan produktiviti produk makanan tradisional. 
 

“Salah satu mesin hasil inovasi YIM iaitu ‘Karipap Maker’ berupaya menghasilkan karipap dengan lebih banyak dalam waktu yang singkat. 

 

dapur

 

"Kami juga merancang untuk membawa masuk lebih banyak peralatan moden berkonsep pintar seperti dapur lemang moden yang sedang dalam peringkat akhir penciptaan,” kata Sharmila.

 

dapur


 

Beliau berkata, Dapur Pintar juga dapat membantu masyarakat mempraktikkan etika pengendalian dan penyediaan makanan yang betul dan peluang belajar penyediaan makanan tradisi Johor, antaranya botok-botok ekspres untuk pasaran Johor. - DagangNews.com