Yinson sertai inisiatif Global Compact PBB bagi menyokong amalan perniagaan bertanggungjawab | DagangNews Skip to main content

Yinson sertai inisiatif Global Compact PBB bagi menyokong amalan perniagaan bertanggungjawab

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Dis - Yinson Holdings Berhad menyertai inisiatif Global Compact Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu platform kepimpinan sukarela yang menyokong pembangunan, pelaksanaan dan pendedahan amalan perniagaan yang bertanggungjawab.

 

Inisiatif itu merupakan seruan kepada syarikat-syarikat bagi menyelaraskan operasi dan strategi mereka dengan sepuluh prinsip yang diterima secara universal dalam bidang hak asasi manusia, buruh, alam sekitar dan anti-rasuah dan untuk mengambil tindakan bagi menyokong matlamat PBB dan isu-isu yang terkandung dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

 

Inisiatif itu telah dilancarkan pada tahun 2000 dan merupakan inisiatif kemampanan korporat terbesar di dunia, dengan lebih daripada 15,000 syarikat dan 3,000 penandatangan bukan perniagaan yang berpangkalan di lebih 160 negara dan lebih daripada 70 rangkaian tempatan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Chern Yuan berkata, pihaknya menyokong inisiatif itu dengan memasukkan Sepuluh Prinsip ke dalam strategi, dasar dan prosedurnya bagi mewujudkan budaya integriti. 

 

pbb

 

Belia berkata, pihaknya menyedari bahawa kemampanan korporat bermula dengan sistem nilai syarikat dan komitmen menunjukkan sokongan pihaknya dalam menjalankan perniagaan.

 

"Yinson bukan sahaja menjalankan tanggungjawab asasnya kepada masyarakat tetapi juga menetapkan usaha mencapai kejayaan jangka panjang.

 

“Sejak 2018, Yinson telah memulakan perjalanan yang meletakkan pertimbangan kemampanan sebagai teras dalam semua pembuatan keputusannya. Kami telah menyelaraskan fokus kami secara strategik dengan tujuh SDG PBB yang penting," katanya.

 

Baru-baru ini, kumpulan itu juga menerima penarafan FTSE4Good ESG yang lebih baik sebanyak 3.8, meletakkan Yinson di kedudukan 14 teratas dalam Supersektor Penanda Aras Klasifikasi Industrinya. - DagangNews.com