Yoodo, Wulf Esports tamatkan kerjasama 3 tahun yang cemerlang | DagangNews Skip to main content

Yoodo, Wulf Esports tamatkan kerjasama 3 tahun yang cemerlang

KUALA LUMPUR 29 Julai – Setelah tiga tahun melakar sejarah bersama, kini kedua-dua pihak dalam gabungan Yoodo – Yoodo Gank telah mengumumkan pengakhiran kepada usaha sama mereka.

 

Yoodo, perkhidmatan mudah alih digital sepenuhnya dan boleh diubah suai yang pertama di Malaysia – pertama kali memberikan sokongan kepada pasukan e-sukan PUBG MOBILE tersebut ketika mereka menjuarai Kejohanan PUBG MOBILE Kebangsaan (PMNC) 2018. Yoodo juga merupakan syarikat Telco Digital Rasmi kejohanan tersebut.

 

Selama tiga tahun bersama, pasukan Yoodo Gank telah berkembang dan membuktikan kecemerlangan mereka berulang-ulang kali terutamanya dalam tiga kejohanan utama (PMNC 2018, Selangor Cyber Cup 2019, PMPL SEA 2020), seterusnya tampil sebagai kuasa besar yang disegani dalam komuniti PUBG Mobile.

 

Dengan sokongan padu dari Yoodo, pasukan tersebut telah melebarkan lagi pengaruh melalui komuniti e-sukan Yoodo dan pelbagai inisiatif pemasaran yang mengukuhkan lagi jenama mereka.

 

Salah satu kenangan terindah bagi kedua-dua pihak adalah kemenangan bersejarah Yoodo Gank yang mencipta rekod setelah mereka mengungguli kejohanan PUBG Mobile Pro League (PMPL) Asia Tenggara (SEA) 2020. Kemenangan ini merupakan yang pertama dalam sejarah Malaysia dan selayaknya diabadikan di dalam The Malaysia Book of Records.

 

Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun menzahirkan ucapan selamat kepada pasukan Gank ketika mereka meneruskan langkah dengan hala tuju baharu.

 

“Setelah hampir tiga tahun berkembang dan mencipta kemenangan bersama, kini tiba masanya untuk Yoodo dan Gank untuk meneruskan perjuangan mengikut arah tuju pilihan masing-masing.

 

"Kami berbangga dengan pencapaian bersama dalam tahun-tahun yang lalu termasuklah kemenangan bersejarah di PMPL SEA pada tahun 2020. Yoodo kekal komited untuk menyokong komuniti esukan dan kami akan terus bersorak untuk pasukan Gank biarpun dari jauh,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Beliau juga menambah bahawa pengumuman pasukan Yoodo Gank merupakan antara langkah terawal bagi Yoodo dalam dunia esukan dan sejak dari itu, Yoodo telah berkembang menjadi satu kuasa besar dalam segmen gaming melalui pelbagai inisiatif – salah satu contoh adalah sokongan peminat terhadap Yoodo Gank.

 

“Yoodo kekal komited dalam mengembangkan dan menyokong komuniti esukan tempatan. Teruskan bersama kami untuk lebih banyak lagi pengumuman yang menarik tahun ini,” kata Tuck Mun.

 

Mengulas tentang pengumuman tersebut, Kevin Wong, Ketua Pegawai Eksekutif bagi Wulf Esports berkata bahawa beliau berterima kasih kepada Yoodo kerana telah memberikan kelebihan kepada pasukan tersebut melalui sokongan yang padu sepanjang tiga tahun yang lalu.

 

“Yoodo Gank telah mencipta nama dalam kalangan gamer dan memenangi hati  ramai peminat sepanjang tempoh itu. Di kala kami meneruskan perjuangan sebagai satu pasukan, saya ingin mengatakan bahawa kami amat berterima kasih kepada para penyokong seperti Yoodo yang telah menaruh harapan tinggi kepada kami.

 

“Sokongan berterusan dari mereka adalah amat bernilai bagi perkembangan pasukan. Kami berharap untuk terus mengharumkan nama negara dalam arena esukan,” kata beliau.

 

Yoodo Gank, atau dahulunya dikenali sebagai Gank.fty, merupakan sebuah pasukan yang sedang meningkat naik apabila pertama kali disorot oleh Yoodo pada tahun 2018. Pasukan tersebut terkenal dalam kalangan gamer dan peminat gaming kerana kemahiran tinggi dalam gaming serta sikap merendah diri mereka. Aiman Amirul, atau lebih dikenali denga nama dalam game (In Game Name, IGN) sebagai Manparang, merupakan ketua pasukan Gank dan beliau merupakan seorang pemain PUBG yang terkenal bukan sahaja dalam negara, malahan di peringkat rantau juga.

 

Kedua-dua pihak berpisah untuk meneruskan perjalanan masing-masing  setelah tiga tahun bersama. Namun, para peminat masih boleh terus menonton dan memberikan sokongan kepada Yoodo di laman web: www.yoodo.com atau platform khusus untuk e-Sukan Yoodo: www.facebook.com/YoodoEsports; dan juga kepada Gank di https://www.facebook.com/YoodoGankOfficial/  untuk perkembangan terbaharu. - DagangNews.com