Zantat diunjur manfaat peningkatan permintaan industri plastik di India, kata HLIB | DagangNews Skip to main content

Zantat diunjur manfaat peningkatan permintaan industri plastik di India, kata HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mac - Zantat Holdings Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 27 Mac 2024 berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan peningkatan permintaan bagi industri plastik di India, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Katanya, kumpulan itu bersedia untuk memanfaatkan prospek permintaan kalsium karbonat (GCC) yang menggalakkan di pasaran India dengan menambah satu barisan pengeluaran gred halus di kilang Clarock di Perak pada tahun ini.

 

Menurut HLIB, pengembangan itu akan meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan GCC sebanyak 26,000 tan bersamaan dengan 8.3% daripada jumlah kapasiti.

 

Kira-kira 43% daripada jualan kumpulan itu dikaitkan dengan industri plastik India, yang diramalkan oleh Persatuan Pengilang Plastik India (Aipma) meningkat tiga kali ganda dalam saiz pasaran daripada AS$42.4 bilion pada 2022-23 kepada AS$133 bilion pada 2027-28.

 

"Lonjakan ini didorong oleh pasaran domestik dan eksport, dipacu oleh faktor seperti pertumbuhan penduduk yang pesat, peningkatan tahap pendapatan, dan pengiktirafan global terhadap produk India," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdapat juga saluran pertumbuhan baharu untuk kumpulan itu kerana mereka membuat usaha untuk menghasilkan GCC ultra-halus dan menerokai operasi hiliran.

 

Barisan pengeluaran untuk campuran bioplastik dengan kapasiti tahunan 300 tan, telah dipasang dan dijadualkan untuk memulakan operasi pada suku pertama tahun ini.

 

"Secara keseluruhan, kami melihat potensi besar dalam usaha ini walaupun terdapat peningkatan kebimbangan terhadap impak alam sekitar serta peraturan mengenai plastik sekali guna," katanya.

 

Berdasarkan faktor ini, firma penyelidikan itu mengunjurkan untung bersih teras Zantat mencatatkan kadar pertumbuhan agregat terkompaun (CAGR) sebanyak 18.4% bagi FY22-25.  - DagangNews.com