Zantat sasar kumpul RM14 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Zantat sasar kumpul RM14 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mac - Zantat Holdings Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM14 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) selepas disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 27 Mac 2024.

 

Pengeluar sebuk kalsium karbonat gred tinggi itu dalam satu kenyataan berkata, mereka merancang menggunakan RM3.8 juta daripada hasil itu untuk menaik taraf pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan membeli peralatan ujian dan pembangunan produk tambahan.

 

Sejumlah RM1.4 juta lagi daripada hasil akan digunakan untuk membeli komponen mesin kecekapan tinggi seperti sistem palet robot automatik bersepadu dan motor kecekapan tinggi untuk mengautomasikan sistem pembungkusannya.

 

Sejumlah RM1 juta akan digunakan untuk menaik taraf infrastruktur Loji Calrock di Perak, RM1.4 juta akan digunakan untuk modal kerja manakala RM3.4 juta bagi membayar pinjaman bank dan RM3 juta digunakan bagi perbelanjaan penyenaraian.

 

Pengarah Urusan Zantat, Ivan Chan berkata, langkah menaik taraf kemudahan R&D dalam Loji 1 kumpulan itu di Perak adalah penting untuk memudahkan rancangan pengembangan produk syarikat.

 

“Dengan kemudahan R&D yang dinaik taraf dan keupayaan ujian yang dipertingkatkan, kami akan menumpukan pada pembangunan dan peningkatan produk dalaman kami termasuk ujian produk kami serta untuk pelanggan baharu dan sedia ada berkaitan produk kalsium karbonat dan sebatian bioplastik.

 

“Sebagai sebahagian daripada strategi kami untuk mengembangkan rangkaian produk, kami berhasrat membangunkan tiga sebatian bioplastik baharu dan meningkatkan gred kalsium karbonat kami iaitu siri “Zanelite” dan menghasilkan lebih banyak jenis untuk menjana aliran pendapatan baharu,” katanya.

 

Zantat menerbitkan 56 juta saham baharu, mewakili 20% daripada modal saham yang diperbesarkan pada harga terbitan 25 sen sesaham.

 

Daripada saham terbitan, 14 juta saham akan disediakan kepada orang ramai Malaysia melalui undian, 11.2 juta saham terbitan kepada pengarahnya yang layak, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan itu dan baki 30.8 juta saham terbitan akan dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

M&A Securities Sdn Bhd ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO. - DagangNews.com