Zon Kewangan Khas di Forest City pacu pembangunan Johor | DagangNews Skip to main content

Zon Kewangan Khas di Forest City pacu pembangunan Johor

Oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Effandi Yusoff

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri  Anwar Ibrahim bahawa Forest City akan dikategorikan sebagai Zon Kewangan Khas (SFZ) bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan Johor sebagai sebuah negeri maju menjelang 2030.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum  ini memberitahu sekiranya Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura dan SFZ di Forest City menjadi realiti, ia mempunyai potensi untuk berkembang seperti Shenzhen.

 

Inisiatif menjadikan Forest City sebagai SFZ pertama seumpamanya di dalam negara ini juga mampu meletakkan Malaysia di peta dunia, khususnya dalam sektor kewangan dan perbankan antarabangsa.

 

Pada masa sama, secara tidak langsung ia dapat memberikan kesan positif kepada pembangunan ekonomi melalui limpahan manfaat yang diterima pelbagai lapisan masyarakat sama ada daripada agensi kerajaan, pemain industri serta masyarakat.

 

Keputusan menjadikan Forest City sebagai SFZ juga adalah satu langkah tepat terutama dalam usaha memanfaatkan ekosistem yang telah wujud di kawasan berkenaan. 

 

SFZ diyakini dapat berkembang dan mampu mewujudkan satu ekosistem kewangan bersifat pelengkap serta mengimbangi negara jiran, Singapura dan bukannya bersaing antara satu sama lain. 


 

forest city


 

Kita boleh menjadikan model pembangunan di Shenzhen dan Hong Kong sebagai rujukan. Kerjasama bersifat saling melengkapi itu akan mewujudkan 'dual core engine' di rantau Asia Tenggara ini.

 

Infrastruktur asas di Forest City juga telah tersedia. Jadi, langkah terbaik adalah memastikan projek itu dapat dijayakan bagi memberikan kesan menang-menang kepada kesemua pihak terlibat.

 

Walaupun usaha itu baharu diumum dan mungkin mengambil tempoh masa antara lima hingga 10 tahun untuk menjadi matang, namun ia mampu menjadi pemangkin kepada Johor mencapai potensi ekonomi sebenar sekali gus muncul sebagai suatu kuasa ekonomi di Asia. 

 

Usaha itu juga boleh menjadi pelengkap inisiatif terdahulu, antaranya usaha mewujudkan koridor Iskandar Malaysia di selatan tanah air sekali gus merealisasikan hasrat kerajaan menjadikannya koridor paling berjaya dalam negara. 

 

Justeru, kerajaan persekutuan serta kerajaan negeri perlu bekerjasama dengan pihak swasta bagi menarik kehadiran lebih ramai pelabur antarabangsa untuk membuat pelaburan di kawasan SFZ di Forest City.

 

Matlamat ini juga mampu dicapai dengan polisi-polisi relevan yang telah dilaksanakan kerajaan sebelum ini seperti pelaksanaan cukai lebih rendah, sistem pelepasan visa yang lebih fleksibel dan mesra pengguna.

 

Langkah itu boleh dibuat melalui pengenalan insentif-insentif bersesuaian atau pelaksanaan cukai-cukai progresif yang memberikan lebih imbuhan kepada syarikat antarabangsa memasuki pasaran tempatan. 

 

Perkara itu kemudian akan dapat mewujudkan kesan 'siphon’ dan memacu pembentukan dan pelaksanaan rantaian perindustrian serantau.


 

forest city

 


Kemasukan pelaburan asing bakal membawa impak positif kepada pertumbuhan jangka masa pendek dan panjang kepada negara ini.

 

Ini kerana, limpahan kepada kemasukan pelaburan asing itu akan turut disertakan dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta teknologi tinggi dan itu secara tidak langsung akan menyebabkan berlakunya perpindahan ilmu dan juga kemahiran kepada tenaga kerja tempatan. 

 

Kemasukan pelaburan juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada penduduk setempat sekali gus bertepatan dengan imej Forest City sebagai sebuah bandar antarabangsa masa depan bersesuaian dengan namanya.

 

Pembangunan kawasan tersebut juga dibuat dengan mematuhi kriteria Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang secara tidak langsung akan menarik pemain industri yang mempunyai misi dan visi selari dalam aspek penjagaan alam sekitar dari seluruh dunia untuk datang ke Forest City. 

 

Projek ini juga dilihat sebagai satu langkah penting dalam membantu negara mencapai komitmen pembangunan mampan di Malaysia. - DagangNews.com

 

 

Prof. Madya Dr. Mohd. Effandi Yusoff adalah Pensyarah di Jabatan Perakaunan dan Kewangan, Fakulti Pengurusan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 

 

 

 - DagangNews.com