ZTE Corporation sedia pacu transformasi 5G Asia Pasifik | DagangNews Skip to main content

ZTE Corporation sedia pacu transformasi 5G Asia Pasifik

ZTE Corporation

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Syarikat peneraju dan penyedia teknologi maklumat dan telekomunikasi global, ZTE Corporation bersedia untuk membawa perubahan dan transformasi rangkaian 5G di rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia.

Naib Presiden ZTE Corporation dan Pengurus Pemasaran & Penyelesaian Global Asia Pasifik, Bai Yang berkata, selain 5G, syarikat berkenaan berada pada kedudukan yang baik untuk memulakan pelaburan di rantau berkenaan dalam jaringan komput dan kemudahan platform untuk memudahkan transformasi digital kepada ribuan industri.

"ZTE selalu menunjukkan komitmennya untuk memperkasa digital dan transformasi pintar kepada ribuan industri dengan membina 'ultimate network', 'precision cloud networks' dan 'empowerment platforms'," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pembentangan yang bertajuk 'Pave the way for a digital future' yang dijalankan secara maya pada 3 November lalu, beliau membuat gambaran bahawa Asia Pasifik sebagai'muda dan dinamis' yang memiliki potensi besar memandangkan capaian terhadap 5G sedang direncana di rantau berkenaan.

Dalam usaha tersebut, ZTE bertindak mempercepatkan proses transformasi digital dengan menyediakan kemampuan rangkaian 5G, komput dan kemudahan platform sekali gus mewujudkan perniagaan baharu untuk rantau berkenaan.

Menurut laporan The Mobile Economy Asia Pacific 2020 yang dikeluarkan oleh GSM Association, sebanyak sembilan pasaran di rantau berkenaan telah mula melancarkan perkhidmatan 5G mudah alih secara komersial, manakala 12 lagi secara rasminya mengumumkan perancangan untuk turut melakukan perkara sama.

"Malaysia adalah antara beberapa negara lain di Asia Pasifik termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Australia yang meletakkan hasrat untuk menjadi peneraju global dalam rangkaian 5G.

ZTE Malaysia juga telah melakukan kerjasama rapat dengan rakan kongsi di Malaysia seperti Digi Telecommunications Sdn. Bhd. dan U Mobile Sdn. Bhd. untuk mempercepat matlamat penggunaan 5G di Malaysia.

Melalui kerjasama bersama Digi itu, ia mampu meningkatkan pemodenan Rangkaian Akses Radio (RAN) di seluruh negara yang akan memberikan pengalaman yang lebih baik kepada para pelanggan selain memastikan kesediaan rangkaiannya untuk capaian 5G.

Dua bulan lalu juga, U Mobile telah melancarkan percubaan 'Fast Forward with U Mobile 5G' yang membolehkan pelanggan prabayar dan pascabayar U Mobile dengan SIM siap untuk 5G (pra-aktif) yang akan mendapat capaian lebih pantas kepada rangkaian 5G. - DagangNews.com