Skip to main content

BAM intai khidmat Eng Hian untuk perkuat skuad kebangsaan?

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Dis - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dikhabarkan sedang mengintai khidmat jurulatih Indonesia, Eng Hian bagi memperkuatkan skuad kebangsaan pada masa akan datang.

 

Difahamkan jurulatih beregu campuran negara juga dari Indonesia, Paulus Firman akan meninggalkan kem kebangsaan selain jurulatih beregu wanita, Chan Chong Ming berkemungkinan akan bertukar jawatan.

 

Sumber memberitahu, beberapa lagi jurulatih akan meninggalkan kem kebangsaan bagi memberi laluan kepada penstrukturan baharu kejurlatihan baharu yang sedang dilakukan badan induk itu ketika ini.

 

"Apa yang saya tahu, BAM cuba bawak masuk Eng Hian jurulatih kepada Greysia Poli dan Apriyani Rahayu yang menjadi juara Olimpik baru-baru ini.

 

"Paulus akan tinggalkan BAM dan Chan Chong Ming yang berada di bahagian beregu wanita mungkin akan tukar bahagian lain. Ini yang saya dengar," katanya kepada Dagangnews.

 

Eng Hian merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Athens 2004 dalam acara beregu lelaki bersama Flandy Limpele yang kini merupakan jurulatih beregu lelaki dalam skuad kebangsaan.

 

indon

 

Perubahan dalam barisan kejurulatihan negara mungkin akan berlaku selepas Rexy Mainaky dilantik sebagai pengarah kejurulatihan beregu manakala Wong Choong Hann akan menjadi pengarah kejurulatihan perseorangan.

 

BAM juga menetapkan sasaran jelas untuk menjadi finalis dalam kejohanan Piala Thomas yang akan berlangsung di Bangkok tahun hadapan.

 

Selain itu, BAM mahukan skuad yang ampuh bagi menggalas cabaran negara di Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Sukan Asia Hangzhou 2022. - DagangNews.com