Bajet 2023 diluluskan Disember ini jika BN menang PRU15, kata penganalisis ekonomi | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023 diluluskan Disember ini jika BN menang PRU15, kata penganalisis ekonomi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Okt - Pelabur dilihat terus kekal berhati-hati menantikan keputusan pilihan raya umum-15 (PRU15) yang akan diketahui 19 November ini meskipun pasaran menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan memenangi pilihan raya tersebut. 

 

Penganalisis CGS-CIMB Research, Ivy Ng Lee Fang berkata, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan Merdeka Centre of Opinion Research terdapat dua isu yang menjadi kebimbangan pengundi iaitu inflasi dan ketidakstabilan politik. 

 

Malah, katanya, hasil kajian itu turut menunjukkan sentimen orang ramai terhadap hala tuju negara masih negatif, dengan 63% daripada responden yang terlibat dalam tinjauan pada September 2022 berpendapat negara sedang berada dalam landasan yang salah.

 

Dalam kajian itu juga menunjukkan penarafan kelulusan kerajaan semasa, BN dan Perikatan Nasional (PN) telah jatuh ke paras terendah 26% pada Julai 2022, sebelum meningkat kepada 38% pada September 2022.

 

"Memandangkan keputusan PRU15 tidak berubah, kami akan terus menasihati pelabur untuk kekal bertahan.

 

"Kami berpendapat pasaran mungkin telah mengambil kira kepimpinan BN yang diterajui UMNO bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh majoriti dan membentuk kerajaan. 

 

"Sekiranya jangkaan ini menjadi kenyataan, ini bermakna Bajet 2023 boleh diluluskan menjelang Disember 2022," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Lee Fang berkata, jika keputusan sebaliknya berlaku hingga menyebabkan Parlimen digantung, ia akan mengheret pasaran terhadap ketidakstabilan politik yang berterusan selepas PRU15.

 

Pada 10 Oktober lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa 10 Oktober 2022 selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada PRU15.

 

Perdana Menteri membuat pengumuman itu setelah kerajaan selesai membentangkan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu yang menyaksikan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion.

 

 

SPR

 

 

Susulan itu, pada 20 Oktober lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 19 November ini sebagai hari pengundian bagi PRU15.

 

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November manakala hari pengundian awal adalah pada 15 November ini.

 

Pada Selasa minggu lalu, 30 konstituen utama FBM KLCI jatuh di bawah paras 1,400 mata buat kali pertama dalam tempoh dua tahun untuk berakhir pada 1,386.82 mata memandangkan pelabur bimbang terhadap keputusan PRU15 dan juga ketidaktentuan ekonomi global.

 

MIDF Research dalam nota kajian bertarikh 11 Oktober lalu berkata, walaupun PRU15 mungkin menggembirakan dari segi politik, tetapi untuk pasaran ekuiti, faktor luaran dijangka terus menguasai sentimen.

 

"Sejak tahun 2000, kami mendapati prestasi pasaran (iaitu FBM KLCI) sebelum pilihan raya adalah bercampur-campur, dan tindakan harga nampaknya berlaku selepas pilihan raya.

 

"Melangkah ke penghujung tahun ini, kami menjangkakan penilaian pasaran ekuiti tempatan merangkak lebih tinggi daripada paras semasa sejajar dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang positif berterusan pada 2023," jelasnya. - DagangNews.com