BN masih belum bersama mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan, minta tambahan masa untuk mesyuarat - Zahid | DagangNews Skip to main content

BN masih belum bersama mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan, minta tambahan masa untuk mesyuarat - Zahid

KUALA LUMPUR 21 Nov - Barisan Nasional (BN) tidak menyatakan sokongan untuk menyertai mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan baharu sehingga Majlis Dewan Tertinggi BN membuat keputusan terakhir mengenainya. 

 

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mana-mana gabungan yang menyatakan BN telah bersama mereka bagi menubuhkan kerajaan adalah tidak benar.

 

Beliau juga menegaskan mana-mana Ahli Parlimen BN yang menandatangani apa-apa dokumen termasuk Akuan Bersumpah (SD) yang menyokong pencalonan mana-mana individu sebagai Perdana Menteri adalah tidak sah dan melanggar peraturan parti.

 

“Setakat ini, BN tidak mengikuti mana-mana gabungan termasuk Perikatan Nasional (PN) kerana tiada rundingan yang dibuat antara kedua-dua pihak,” katanya selepas mengadakan sidang akhbar, hari ini.

 

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO juga mengesahkan bahawa 26 daripada 30 Ahli Parlimen BN yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan menyokong keputusan Dewan Tertinggi BN untuk bergabung dengan mana-mana parti.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, dua daripadanya tidak dapat menghadiri perjumpaan bersama Pakatan Harapan (PH) yang diadakan di Hotel Seri Pacific, hari ini kerana tidak sihat.

 

Antara yang berada pada sidang media itu ialah pimpinan UMNO dan BN iaitu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

 

Hadir sama, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Timbalan MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

 

Pada masa sama, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu itu berkata, BN akan mengemukakan SD mewakili Ahli Parlimen parti itu bagi menamakan calon Perdana Menteri kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, petang ini.

 

Beliau berkata, sebahagian besar Ahli Parlimen sudah secara bersama membuat keputusan sepakat berhubung hal itu.

 

"Hari ini kami Ahli Parlimen BN sudah secara sepakat akan menghantar akuan bersumpah kepada Speaker Dewan Rakyat mengikut tempoh ditentukan pada pukul 2 petang ini.

 

"Harap Speaker Dewan Rakyat dapat lanjutkan sedikit jangka waktu pada waktu yang lebih fleksibel untuk kami kemukakan SD selepas keputusan dan berdasarkan rundingan yang akan kami lakukan dengan mana-mana pihak," katanya. - DagangNews.com