Dikir Barat ‘Sentuhan Teknologi’: Kisah Hang Tuah — Persembahan Perintis Menggabungkan Seni Tradisional dan Teknologi Digital | DagangNews Skip to main content

Dikir Barat ‘Sentuhan Teknologi’: Kisah Hang Tuah — Persembahan Perintis Menggabungkan Seni Tradisional dan Teknologi Digital

PERSEMBAHAN Dikir Barat ‘Sentuhan Teknologi’: Kisah Hang Tuah yang dilancarkan pada 20hb Oktober 2022, mencipta sejarah tersendiri dengan gabungan tiga elemen teknologi dalam persembahan iaitu Projection Mapping, Holographic dan Motion Capture tanpa menjejaskan asas kesenian tradisional.

 

Program ini bertujuan untuk mempromosikan kesenian tradisional dengan gabungan teknologi sebagai produk pelancongan budaya dan memberi pulangan ekonomi kepada penggiat industri seni budaya dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

 

Iajuga mampu memberi dimensi baharu dalam persembahan kesenian tradisional supaya dilihat selari dengan kehendak dan peredaran masa kini serta boleh dipasarkan ke pentas antarabangsa.


 

dikir barat

 


Persembahan ini mengajak kita untuk meneroka pelbagai ruang kreatif lain yang ada dalam seni persembahan Dikir Barat melalui penafsiran segar dan penceritaan semula Hikayat Hang Tuah.

 

Penceritaan Kisah Hang Tuah disampaikan melalui lakonan serta lagu dan karut Dikir Barat termasuk Karut Yengki, Karut Kelantan, Lagu Jogho, Karut Tani, Lagu Matan, Karut Kelantan dan Wau Bulan.

 

Pelancaran Dikir Barat ‘Sentuhan Teknologi’: Kisah Hang Tuah ini juga menyajikan sebuah dokumentari tokoh dan ikon penggiat seni dikir barat serta memaparkan sebuah pameran fotografi seputar seni budaya warisan Dikir Barat.


 

dikir barat

 

dikir barat

 


Sipnosis: Kisah Hang Tuah 

Persembahan dimulakan dengan Segmen Buka Panggung (Dikir Barat tradisi) disusuli oleh empat (4) segmen serta Segmen Penutup (Dikir Barat Tradisi)

 

Berita kemungkaran Hang Tuah telah sampai kepada pengetahuan Sultan. Sultan amat murka kerana Hang Tuah antara orang yang paling Baginda percaya untuk menjaga keamanan negerinya. Lalu beliau menitahkan Bendahara untuk menangkap dan membunuh Hang Tuah.

 

Bendahara yang tidak percaya dengan khabar tersebut terus menangkap Hang Tuah namun dia mengambil keputusan untuk tidak membunuh Hang Tuah tetapi
menyembunyikan Hang Tuah di sebuah hutan.

 

Hang Jebat mendapat berita Hang Tuah dibunuh terus mengamuk dan menderhaka kepada Sultan yang dianggap kejam membunuh Hang Tuah. Dalam kelam kabut Hang Jebat mengamuk Hang Tuah dibawa pulang untuk menyelamatkan keadaan dalam negeri.

 

Akhirnya mereka bertikam sesama sendiri. Dalam pergaduhan tersebut muncul seorang tua yang menasihatkan agar jangan bergaduh dan mereka akur dan terus
berdamai. Maka selepas itu rakyat Negeri Melaka hidup aman dan damai.


 

dikir barat

 


Satu lagi persembahan pada 5 November ini

Persembahan istimewa ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Persatuan Cinta Seni Budaya (PERSIDAYA), Akademi Arjunasukma (Kumpulan Dikir Barat), KINO Cinema Media (Teknologi), dan PUSAKA (Pemasaran).

 

Acara ini diadakan Stage 1, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor pada 20 Oktober 2022. Antara tetamu VIP yang hadir di
pelancaran itu ialah Duta Besar Ireland, Hilary Reilly dan Duta Besar Republik Azerbaijan, Irfan Davudov.

 

Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop berkata, JKKN sentiasa komited dalam usaha mengetengahkan integrasi teknologi interaktif seni persembahan di Malaysia dan pemerkasaan usahawan seni budaya melalui penggunaan teknologi dalam memartabatkan seni budaya ke peringkat antarabangsa.


 

dikir barat

 

dikir barat

 


DIKIR BARAT ‘Sentuhan Teknologi’: Kisah Hang Tuah juga akan dipersembahkan di Festival Budaya Seni Hidup (LACF) JKKN pada 5 November 2022 di Mini Auditorium,
Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) Kuala Lumpur.

 

Orang ramai boleh melayari laman web JKKN iaitu www.jkkn.gov.my ataupun boleh layari facebook JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini. - DagangNews.com