KUALA LUMPUR 8 Nov - EasyParcel menawarkan cara yang lebih mudah kepada penjual mikro bagi menguruskan perniagaan e-dagang mereka menerusi kerjasama dengan iStore iSend.
Kerjasama tersebut yang dimeterai dalam satu memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 26 Oktober 2022, membolehkan rangkaian perniagaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam talian yang bernaung di bawah EasyParcel untuk menikmati rangkaian perkhidmatan e-pemenuhan yang berpatutan, inovatif dan berteraskan teknologi yang disediakan oleh iStore iSend.
Pakej ini merangkumi perkhidmatan untuk mengendalikan aspek pengangkutan, pengurusan logistik, serta rantaian bekalan dan storan inventori perniagaan.
Menurut sebuah artikel Unleashed, perkhidmatan e-pemenuhan amat penting bagi PKS bagi memastikan kepuasan pelanggan, memudahkan proses pengambilan dan pembungkusan, meminimumkan kehilangan bungkusan atau barangan yang dipulangkan, meningkatkan kapasiti barangan sedia, meningkatkan daya saing perniagaan, serta mengurangkan kos secara keseluruhan.
Oleh itu, kerjasama antara EasyParcel dan iStore iSend ini dijalinkan tepat pada masanya, dan mampu menyelesaikan masalah-masalah utama penjual mikro dan penjual sosial yang paling ketara.
Terdapat beberapa pilihan pakej disediakan melalui kerjasama ini, dengan setiap pakej merangkumi perkhidmatan kemasukan (inbound), ambil dan bungkus, serta penghantaran yang digabungkan bersama.
Namun, perkhidmatan ini hanya tersedia di Semenanjung Malaysia pada masa sekarang, dengan lapan SKU bagi setiap akaun yang didaftarkan dengan EasyParcel.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif EasyParcel, Clarence Leong berkata, kerjasama ini amat penting, kerana kepelbagaian kepakaran teknikal dan teknologi iStore iSend akan membantu penjual mikro Malaysia untuk meluaskan perniagaan mereka dengan lebih pantas, yang akan diperkukuhkan lagi dengan keupayaan untuk memilih rakan kongsi penghantaran yang mereka mahu.
"Pemilik perniagaan kini boleh memberi tumpuan kepada perkara yang benar-benar penting seperti mengurus dan mengembangkan perniagaan mereka apabila kepakaran dan teknologi kami dimanfaatkan oleh perniagaan-perniagaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif iStore iSend, Joe Khoo pula berkata, kebanyakan penjual mikro di negara ini menguruskan perniagaan mereka sejak mula berniaga tanpa sebarang bantuan dalam pengurusan inventori.
"Saya tidak terperanjat jika kebanyakan daripada mereka menyimpan stok di rumah mereka sendiri. Situasi ini merangkumi penjual-penjual seperti stokis, barangan pakaian buatan sendiri, barang kemas peribadi dan sebagainya.
"Golongan inilah yang kami ingin bantu menerusi kerjasama ini dengan membantu mereka mengembangkan perniagaan tanpa perlu risau tentang kemungkinan kehabisan ruang simpanan inventori atau keperluan untuk menggajikan tenaga kerja tambahan," katanya. - DagangNews.com