Kejuruteraan Asastera ambil alih Future Biomass Gasification Sdn Bhd berharga RM15 juta | DagangNews Skip to main content

Kejuruteraan Asastera ambil alih Future Biomass Gasification Sdn Bhd berharga RM15 juta

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 9 Nov - Penyedia penyelesaian kejuruteraan dan tenaga, Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB) menceburi segmen penyelesaian tenaga mampan (SES)  dengan loji janakuasa biogas pertamanya, menerusi cadangan pemerolehan keseluruhan ekuiti Future Biomass Gasification Sdn Bhd (FBG) sebanyak RM15 juta.

 

Dalam pemakluman di Bursa Malaysia, KAB berkata, FBG adalah anak syarikat milik penuh Future NRG Sdn Bhd (FNSB), memiliki loji kuasa biogas di Kedah dengan kapasiti terpasang 2.4 megawatt.

 

Menurutnya, ia akan mendapat manfaat daripada pendapatan berulang jangka panjang melalui perjanjian pembelian kuasa tenaga boleh diperbaharui (REPPA) sedia ada FBG dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

 

Perjanjian REPPA berkuat kuasa selama 16 tahun dari Mac 2018 hingga Mac 2034, yang membolehkan FBG membekalkan kuasa kepada grid nasional, katanya.


 

KAB Datuk Lai Keng Onn
          Datuk Lai Keng Onn

 


Pengarah Urusan KAB Datuk Lai Keng Onn berkata, penambahan loji kuasa biogas pertama melalui cadangan pengambilalihan FBG akan meluaskan portfolio aset SES KAB yang kini terdiri daripada penjanaan bersama dan loji pemulihan haba sisa serta sistem fotovoltaik solar.

 

“Industri biogas mempunyai potensi besar yang belum diterokai di Malaysia, memandangkan ketersediaan besar efluen minyak sawit sebagai bahan api, dan kami berhasrat untuk membantu Malaysia dan negara lain di rantau ini mencapai matlamat tenaga boleh diperbaharui mereka.

 

"Loji itu juga akan menyumbang kepada membina aliran pendapatan jangka panjang yang stabil untuk kumpulan itu," kata Lai. - DagangNews.com