Petronas Dagangan agih sumbangan kepada 4,000 keluarga sempena Hari Raya Aidilfitri | DagangNews Skip to main content

Petronas Dagangan agih sumbangan kepada 4,000 keluarga sempena Hari Raya Aidilfitri

Datuk Seri Salahuddin Ayub, wakil KPDN dan Petronas bersama penerima sumbangan Program Memacu Kehidupan Bersama Bakul Rahmah dalam majlis penyerahan yang diadakan di Stesen Petronas BKE2, Pulau Pinang pada 7 Januari 2023.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 April - Petronas Dagangan Berhad dengan kerjasama Yayasan Petronas dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melancarkan inisiatif Memacu Kehidupan Bersama Bakul Rahmah di Pulau Pinang, baru-baru ini.

 

Dalam satu kenyataan, Petronas Dagangan memaklumkan bahawa inisiatif tersebut akan memanfaatkan lebih daripada 4,000 keluarga sempena Hari Raya Aidilfitri.

 

Inisiatif ini juga akan diperluaskan ke musim perayaan utama yang lain seperti Kaamatan, Gawai, Deepavali serta Krismas, dan akan memanfaatkan lebih daripada 9,000 keluarga di seluruh negara.

 

Tambahnya, inisiatif tersebut diterajui oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), sejajar dengan program Memacu Kehidupan anjuran Yayasan Petronas.

 

Penerima Bakul Rahmah akan menerima kad hadiah Petronas yang boleh digunakan untuk membeli bahan api dan barangan dari kedai Mesra di stesen Petronas, serta keperluan makanan asas dan barangan makanan perayaan.

 

 

petdag
Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Azrul Osman Rani (kiri) menyampaikan Bakul Rahmah kepada salah seorang penerima.

 

 

Mengulas tentang inisiatif ini, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan, Azrul Osman Rani berkata ia menjadi komitmen kumpulan untuk menjadikan kehidupan pelanggan lebih mudah dan bermanfaat yang turut diperluas kepada komuniti di kawasan mereka beroperasi.

 

“Kami berbesar hati menyokong pihak KPDN dalam memberi impak positif kepada komuniti dan menyebarkan kegembiraan kepada mereka yang paling memerlukan.

 

Di Petronas Dagangan, kami percaya setiap individu berhak merasai kemeriahan dan meraikan saat-saat bermakna di Hari Raya, tanpa mengira status mereka,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis berkata objektif inisiatif tersebut adalah untuk mempertingkat kebajikan dan memberi impak positif kepada masyarakat sekeliling melalui sumbangan dalam bentuk barangan.

 

“Kami memahami mereka mungkin berdepan dengan pelbagai cabaran ketika musim perayaan dan berharap sumbangan ini dapat membantu memberi kegembiraan dan keselesaan kepada mereka dan orang tersayang,” tambahnya. -DagangNews.com