RHB Research semak turun unjuran pendapatan Econpile bagi FY23 hingga FY25 kesan kos pembiayaan tinggi | DagangNews Skip to main content

RHB Research semak turun unjuran pendapatan Econpile bagi FY23 hingga FY25 kesan kos pembiayaan tinggi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Nov - RHB Research menyemak turun unjuran pendapatan Econpile Holdings Berhad sebanyak 14.7%, 3.6% dan 7.1% bagi FY23 hingga FY25 kesan daripada kos pembiayaan yang tinggi.

 

Firma itu berkata, unjuran itu adalah berdasarkan asas penilaian kepada FY24 dengan sasaran P/E tidak berubah sebanyak 14x.

 

"Ia juga berdasarkan potensi kumpulan ketika memenangi subkontrak Mass Rapid Transit 3 (MRT3) berbanding syarikat lain yang kurang mendapat pendedahan dalam projek sebelum ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kerugian bersih kumpulan itu bagi 1QFY23 menyusut kepada RM4.83 juta berbanding kerugian bersih RM5.79 juta pada tahun sebelumnya disebabkan penstabilan kos bahan binaan serta untung kasar yang lebih tinggi yang dijana daripada operasi luar negaranya.

 

Pendapatan bagi suku tersebut susut 4.8% kepada RM81.86 juta daripada RM85.99 juta.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu berjaya meraih kontrak baharu bernilai RM108 juta berkaitan RTS Link, suite perkhidmatan 41 tingkat di Jalan Imbi, dan sebuah hospital swasta di Kota Bharu.

 

Katanya, jumlah kontrak tertunggaknya pada akhir 1QFY23 berjumlah RM442.8 juta

 

"Kumpulan itu dijangka menerima 100 tenaga kerja asing pada Disember 2022 dan ia akan membantu meningkatkan kemajuan kerja untuk projek sedia ada.

 

"Aliran harga terkini kos bahan binaan juga telah diambil kira dalam pekerjaan dan tender terkininya.

 

"Bagaimanapun, kami tetap berhati-hati dengan kebergantungan terhadap projek pembangunan hartanah yang mungkin menghadapi risiko penurunan berikutan persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) 16 sen sesaham. - DagangNews.com