TA Securities nilai harga sasaran TT Vision Holdings pada 60 sen | DagangNews Skip to main content

TA Securities nilai harga sasaran TT Vision Holdings pada 60 sen

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Jan - TA Securities menetapkan harga sasaran (TP) pada 60 sen terhadap TT Vision Holdings Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia. 

 

Saranan itu adalah berdasarkan kepada pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2023 (CY23) sebanyak 5.1 sen dan harga perusahaan 20 kali sejajar dengan purata pemain industri lain. 

 

"Kami menyukai saham ini kerana ia menawarkan prospek pertumbuhan yang menarik disokong peningkatan penggunaan tenaga boleh diperbaharui termasuk sistem solar PV dan pencahayaan cekap tenaga termasuk lampu LED.

 

"Selain itu, kami juga mengambil kira rekod prestasi TT Vision yang terbukti dan hubungan yang terjalin dengan syarikat multinasional," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

TT Vision terlibatdalam pembangunan dan pembuatan peralatan penglihatan mesin, serta penyediaan produk dan perkhidmatan yang berkaitan.

 

Peralatan mesin kumpulan digunakan untuk pemeriksaan semikonduktor termasuk optoelektronik, sel suria, komponen dan litar bersepadu serta dalam peralatan robot berpandukan penglihatan.

 

"Selain daripada pemeriksaan, peralatan penglihatan mesin kumpulan juga termasuk fungsi seperti pengujian dan sebagainya.
 

"Peralatan TT Vision biasanya digabungkan sebagai sebahagian daripada barisan pembuatan pelanggannya manakala sebahagiannya adalah peralatan kendiri.

 

"Segmen industri utama, yang pelanggan kumpulan memenuhi keperluan termasuk LED terutamanya untuk sektor automotif, sel solar untuk sektor solar PV dan komponen serta litar bersepadu terutamanya untuk sektor automotif (kenderaan elektrik) dan elektronik pengguna," katanya.

 

TT Vision sebelum disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia pada 2019.

 

Pada 2021, kumpulan itu menarik diri sukarela daripada Pasaran LEAP untuk memudahkan hasratnya untuk disenaraikan di Pasaran ACE. - DagangNews.com