TNB jalin kerjasama dengan tiga syarikat tenaga utama Thailand, manfaatkan permintaan RE di ASEAN | DagangNews Skip to main content

TNB jalin kerjasama dengan tiga syarikat tenaga utama Thailand, manfaatkan permintaan RE di ASEAN

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Feb - Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang meningkatkan agenda Peralihan Tenaganya melalui tiga kerjasama dengan pemain tenaga utama di Thailand bagi memanfaatkan permintaan serantau dan potensi dalam tenaga hijau di ASEAN.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharian Din berkata, menerusi kerjasama itu kumpulan itu berhasrat mengkuhkan kesalinghubungan kuasa ASEAN dan membolehkan pelbagai rakan kongsi memanfaatkan sumber masing-masing bagi membangunkan infrastruktur serantau berkaitan tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

“Kerjasama itu merupakan langkah strategik untuk merealisasikan pencapaian penting dalam pelan Peralihan Tenaga kami dan komitmen kemampanan TNB," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Beliau juga berkeyakinan bahawa kerjasama itu akan mempercepatkan impian cita neutraliti karbon rakan kongsi dan pada masa sama mengukuhkan momentum pertumbuhan untuk RE di rantau ASEAN.

 

“Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) mengunjurkan lebih daripada 60% daripada penjanaan terpasang pada tahun 2050 untuk negara-negara ASEAN datang daripada RE, ini diterjemahkan kepada sekurang-kurangnya 1,500 GW kapasiti penjanaan dan TNB berharap untuk melanjutkan penyertaannya," kata Baharin.

 

TNB

 

Perbadanan utiliti elektrik negara sebelum ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand (EGAT) bagi menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama untuk mengkaji kemungkinan cadangan peningkatan kapasiti kesalinghubungan antara Semenanjung Malaysia dan Thailand.

 

Dua anak syarikat TNB, iaitu TNB Renewables Sdn Bhd (TRe) dan TNB Power Generation Sdn Bhd (Genco) masing-masing menandatangani MoU dengan Planet Utility Co. Ltd (PU) dan B.Grimm Power Public Co. Ltd (B.Grimm).

 

Majlis itu diadakan bersempena lawatan rasmi pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Bangkok dan beliau sempat menyaksikan pertukaran tiga dokumen MoU itu.

 

baharin
Datuk Ir. Baharian Din

 

Kerjasama antara TRe-PU adalah untuk meneroka potensi RE dan peluang teknologi penjanaan kuasa di Thailand manakala MoU Genco-B.Grimm adalah untuk meneroka sebarang peluang untuk kerjasama, penyertaan dan pembangunan projek kuasa RE di Rantau Asia Tenggara.

 

Kerjasama dengan PU termasuk menilai pilihan pelaburan RE yang berpotensi dalam projek di Thailand yang akan menyumbang secara positif kepada pertumbuhan perniagaan TRe dan pengembangan pasaran.

 

Perkongsian itu bertujuan memanfaatkan kekuatan kedua-dua pihak dalam pelaburan dan pembangunan projek RE serta meneroka peluang lain di rantau ini.

 

Baharin berkata, kajian kesalinghubungan itu akan memudahkan integrasi RE yang lebih tinggi di ASEAN dan peningkatan perdagangan kuasa pelbagai hala masa depan di rantau ini.

 

Katanya, kerjasama itu juga akan membolehkan lebih banyak peluang perniagaan di peringkat serantau dan pada masa yang sama meningkatkan kapasiti RE TNB.

 

TNB, dalam empat inisiatifnya mahu mempercepat agenda kemampanan kumpulan dengan meneruskan pelaburan dalam Grid Masa Hadapan, mempercepatkan penyahkarbonan untuk meningkatkan nilai perusahaan cabang penjanaan kuasanya, TNB Genco; memperluaskan pasaran tumpuan untuk mengembangkan portfolio RE dan memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem kenderaan elektrik. - DagangNews.com