XOX teroka kerjasama dengan pemilik Kuala Lumpur City Football Club | DagangNews Skip to main content

XOX teroka kerjasama dengan pemilik Kuala Lumpur City Football Club

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Feb - XOX Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, XOX Pro Sport Sdn. Bhd. memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kuala Lumpur City FC Sdn. Bhd. (KLCFC) untuk meneroka kerjasama antara kedua-dua pihak.

 

Ia membabitkan kerjasama terutamanya dalam aktiviti komersial termasuk pemasaran dan pengurusan sukan, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

KLCFC adalah pemilik Kuala Lumpur City Football Club, kelab profesional bola sepak yang mewakili Kuala Lumpur dalam pertandingan bola sepak Malaysia.

 

"MoU ini hendaklah bermula pada tarikh pelaksanaan iaitu 10 Februari 2023 dan akan terus berkuat kuasa," katanya.

 

Menurut XOX, kerjasama itu tidak akan memberi kesan kepada modal saham dan pemegangan utama kumpulan.

 

Ia juga dijangka tidak memberi kesan material kepada pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan penggearan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2023.

 

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan XOX, Ng Kok Heng berkata, XOX akan membuka rangkaian produk dan perkhidmatannya untuk KLCFC bekerjasama dengan, termasuk tetapi tidak eksklusif kepada, kandungan media sosial berterusan, mesin layan diri automatik, merchandising, program royalti dan perkhidmatan fintech.

 

“Sebagai gabungan dengan Perak FC, dan kini KLCFC, XOX telah meluaskan jangkauannya menjadi pangkalan peminat bandar dengan pertumbuhan 100 peratus peminat, serta entiti korporat yang turut terlibat dengan sukan itu,” katanya. - DagangNews.com