Skip to main content

Daya tahan ekonomi jadikan Malaysia destinasi menarik kepada firma asing

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Mei - Firma asing khususnya China, India dan Amerika Syarikat (AS) kekal yakin untuk mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia dalam tempoh 2 tahun akan datang, demikian menurut kaji selidik perniagaan terkini yang dikeluarkan HSBC.

 

Ia mendapati syarikat-syarikat berkenaan memilih sama ada untuk mengembangkan operasi mahupun mengutamakan pertumbuhan atau memasuki pasaran Malaysia, di tengah-tengah pemulihan ekonomi setelah negara bangkit daripada kesan pandemik COVID-19. 

 

Ketua Perbankan Komersial HSBC Malaysia, Andrew Sill berkata, Malaysia sentiasa menjadi pasaran yang menarik kepada ekonomi terbesar dunia. 

 

"Ini kerana daya tahan ekonomi negara, rantaian bekalan yang cekap dan ekonomi digital yang berkembang pesat adalah petanda positif yang ditinjau syarikat antarabangsa untuk peluang pertumbuhan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Andrew Sill
Andrew Sill

 

 

Kaji selidik 'HSBC Navigator: SEA in Focus' itu menjalankan tinjauan ke atas lebih 1,500 syarikat daripada 6 ekonomi terbesar di dunia iaitu China, India, AS, Jerman, Perancis dan United Kingdom, yang mana 32% daripadanya mempunyai operasi di Malaysia.

 

Tinjauan itu mengukur sentimen mereka untuk menjalankan perniagaan di rantau Asia Tenggara dan setiap negara, dengan tumpuan khusus pada perdagangan, pendigitalan dan kemampanan.

 

Berdasarkan kaji selidik itu, terdapat minat yang mendalam firma China dalam pasaran Malaysia berbanding negara Asia Tenggara yang lain. 

 

Antara 6 pasaran dalam kajian itu, syarikat China hampir 2 kali ganda berkemungkinan besar merancang pengembangan operasi di Malaysia, pada 41% berbanding purata 22%.

 

Ini selaras dengan hubungan perdagangan China dan Malaysia kerana negara ekonomi itu kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 12 tahun berturut-turut.

 

HSBC

 

Selain itu, hampir 29% syarikat India dan 24% syarikat AS melihat untuk mengutamakan pertumbuhan di Malaysia dalam tempoh 2 tahun akan datang.

 

Kaji selidik itu juga menunjukkan Malaysia bersedia untuk pelaburan asing dalam masa terdekat kerana hampir 19% syarikat yang ditinjau merancang untuk berkembang di negara ini dalam tempoh 2 tahun akan datang, dengan tumpuan khusus daripada firma India sebanyak 25% diikuti China, 22%.

 

Antara faktor yang menjadi tarikan firma asing, adalah keyakinan terhadap prospek ekonomi dan peluang
peluang yang disediakan pasaran Malaysia untuk membangunkan dan menguji produk dan penyelesaian baharu.

 

Satu pertiga daripada responden (masing-masing 34% dan 33%) menunjukkan setiap ciri pasaran ini sebagai tarikan kepada mereka untuk mengembangkan operasi di Malaysia.

 

Malaysia, khususnya, boleh menjangkakan pertumbuhan kukuh dan berterusan melalui pelaburan China dan AS memandangkan 42% daripada firma China amat tertarik dengan peluang untuk menguji produk baharu di Malaysia.

 

Malah, 43% firma AS yang beroperasi di Malaysia menunjukkan perdagangan menjadi lebih mudah di bawah perjanjian perdagangan bebas sebagai ciri yang menarik terutamanya dalam pasaran. - DagangNews.com