KUALA LUMPUR 23 Ogos – Funding Societies, platform pembiayaan digital Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terbesar di Asia Tenggara, memeterai kemudahan kredit berjumlah AS$50 juta (RM223 juta) dengan HSBC Singapura bagi meluaskan lagi jangkauan firma itu dalam membantu PKS yang kurang mendapat perhatian di rantau ini.
Pembiayaan komersial di Asia Pasifik diunjurkan akan berkembang pada Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) 16.5%, yang menjana pendapatan melebihi AS$7 trilion (RM31.27 trilion) menjelang 2028 - yang membentuk kira-kira 25% daripada jumlah pasaran global AS$27.4 trilion (RM122.4 trilion).
Segmen PKS dijangka akan berkembang pada kadar yang lebih pesat. Di Asia Tenggara, masih terdapat banyak PKS yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan dana dan dianggarkan bahawa wujud kelompangan dari segi pendanaan berjumlah AS$320 bilion (RM1.43 trilion) di rantau ini.
Pembiayaan digital diunjurkan muncul sebagai penyumbang terbesar untuk mengisi kelompangan tersebut dan menambah baik pengalaman mendapatkan pendanaan.
Sebagai peneraju pembiayaan digital PKS di rantau ini, Funding Societies mempunyai rekod pengagihan pinjaman lebih daripada AS$2.6 bilion (RM11 bilion) menerusi lebih daripada 5.1 juta transaksi di seluruh rantau ini.
Di Malaysia sahaja, platform ini telah mengagihkan pembiayaan berjumlah lebih daripada RM1 bilion kepada perniagaan. Menerusi kemudahan pembiayaan baharu ini, pemberi pinjaman fintech ini akan dapat menyalurkan dana tersebut melalui pelbagai penyelesaian pembiayaan yang disediakan khusus kepada semua segmen PKS di seluruh lima pasarannya.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Funding Societies/Modalku, Kelvin Teo berkata, “Kami berbesar hati kerana menerima kemudahan pembiayaan yang begitu besar daripada sebuah bank global seperti HSBC".
"Ini menandakan satu lagi pencapaian penting bagi kami dan adalah bukti kepada rekod kredit kami di sepanjang tempoh COVID-19.
"Pandangan jauh, keupayaan global dan pendekatan berskala HSBC telah melengkapkan lagi kami untuk memenuhi keperluan segmen PKS yang kurang mendapat perhatian di rantau ini. Kami menghargai keyakinan HSBC terhadap kami dan sangat gembira dengan kerjasama ini,” ujar beliau.
Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata, pencapaian ini menunjukkan komitmen Funding Societies terhadap PKS yang mempunyai kepercayaan kredit tetapi pada masa sama kurang mendapat perhatian di rantau ini.
"Di Malaysia kami akan terus mencari peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi yang merangkumi pelbagai sektor supaya kami dapat membantu PKS berkenaan mencapai potensi ekonomi mereka yang sepenuhnya dalam fasa pemulihan ini.
"Usaha bersinergi dengan institusi kewangan serta rakan industri adalah penting ke arah memajukan lagi sektor FinTech dan pembiayaan digital ini,” katanya. - DagangNews.com