Hasil DBhd susut 3% kepada RM41.4 juta | DagangNews Skip to main content

Hasil DBhd susut 3% kepada RM41.4 juta

DBhd mencatatkan kerugian operasi sebanyak RM6.1 juta bagi tempoh 9 bulan terkumpul.

KUALA LUMPUR 31 Mei - Hasil Damansara Holdings Bhd (DBhd) bagi suku ketiga (3Q) berakhir 31 Mac 2022, susut 3%s kepada RM41.4 juta berbanding RM42.8 juta pada suku yang sama tahun lalu.

 

Namun begitu, syarikat itu mencatatkan peningkatan ketara dalam keuntungan kasar, yang meningkat sebanyak 29% kepada RM9.4 juta bagi 3Q, berbanding RM7.3 juta pada suku yang sama tahun lepas.

 

Bagi tempoh sembilan bulan terkumpul (9M), DBhd mencatatkan hasil sebanyak RM123.5 juta dengan keuntungan kasar RM26.4 juta.

 

Bagaimanapun, berikutan persekitaran ekonomi yang mencabar, syarikat mencatatkan kerugian operasi sebanyak RM6.1 juta bagi tempoh tersebut.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Muaazam Mahmud berkata walaupun negara telah mula beralih ke fasa endemik COVID-19, cabaran dijangka berterusan pada suku akhir FY22, memandangkan persekitaran perniagaan yang tidak menentu.

 

“Dalam tempoh ini, segmen pengurusan fasiliti bersepadu (IFM) kami akan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan syarikat, sebagai penyumbang terkuat kepada pendapatan kami sejak bermulanya wabak itu,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Muaazam berkata walaupun menghadapi masalah ekonomi semasa, syarikat itu optimistik dengan berhati-hati tentang prospek masa hadapan dan sedang mengambil langkah untuk mengukuhkan lagi prospek dengan melaksanakan pelan strategik.

 

 

Muaazam Mahmud
                                                Muaazam Mahmud

 

 

“Ini termasuk penyusunan semula dan penyelarasan perniagaan kami untuk meningkatkan kecekapan dan menjana pendapatan yang lebih ketara.

 

"Ini akan mewujudkan asas yang kukuh untuk kami mencapai kejayaan pada 2023 dan memacu pertumbuhan mampan jangka panjang DBhd pada masa hadapan," tambahnya. - DagangNews.com