IKS Sarawak mahu sertai lebih banyak karnival serupa Jelajah AKM  | DagangNews Skip to main content

IKS Sarawak mahu sertai lebih banyak karnival serupa Jelajah AKM 

Aksesori manik tradisional Sarawak yang dijual di reruai karnival Koperasi Jagoi Duyoh Bau Berhad.
Oleh KERNI PUAH

KUCHING 7 Ogos - Selama tiga hari penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi ke-7 di Sarawak, rata-rata Industri Kecil Sederhana (IKS) yang ditemui DagangNews.com mahukan karival serupa diadakan lebih banyak lagi. 

 

Bagi Pengurus Koperasi Bangun Boyan Berhad (KOBB), Osman Ismail berkata selama penglibatan mereka tiga hari sejak Jumaat lalu, jualannya telah mendapat sambutan dari pengunjung tidak hanya dari Sarawak. 

 

“Jualan amat memberangsangkan, justeru kami sebagai usahawan kecil seperti ini mahu agar karnival seperti ini dapat dianjurkan ditempat-tempat lain dan menjemput peniaga tempatan dari setiap negeri. 

 

“Pada masa yang sama dapat juga kami promosikan produk tempatan kepada penduduk di negeri-negeri lain sekaligus memulihkan ekonomi peniaga kecil-kecilan seperti kami ini,” katanya ketika ditemui. 

 

Ujar Osman, sepanjang pandemik COVID-19 yang lalu perniagaan yang diusahanya itu telah banyak mengalami kerugian, bagaimanapun dia bersyukur kerajaan telah banyak memperuntukkan bantuan dan penganjuran karnival serta program khusus buat peniaga IKS di seluruh negara. 


 

AKM
Osman Imail, Pengurus KOBB bersama ahli-ahli koperasi Bangun Boyandi reruai karnival jualan usahawan, Jelajah AKM Sarawak. 

 

 

Berkongsi pendapat yang sama, peniaga Koperasi Jagoi Duyoh Bau Berhad, Tunas Redy yang mengusahakan pembuatan manik tradisional juga mahu terlibat dalam banyak lagi dalam penganjuran karnival seperti ini. 

 

“Ketika pandemik COVID-19, banyak program tidak dapat dianjurkan. Ada pun kadangnya kami tidak dapat pergi disebabkan sekatan kawalan pergerakan di antara beberapa negeri pada masa itu. 


 

AKM
Tunas Redy, yang mengusahakan perniagaan pembuatan manik tradisional Sarawak. 

 


“Pada karnival Jelajah AKM ini, memberikan impak yang amat positif kepada kami sebagai peniaga untuk kembali memulihkan pendapatan kami. Justeru, saya teruja sekiranya lebih banyak program seperti ini dianjurkan,” katanya. 

 

Penganjuran Jelajah AKM edisi ke-7 Sarawak kali ini telah merekodkan lebih daripada 85 ribu pengunjung daripada seluruh negara. - DagangNews.com