Perbaiki niat dan tujuan menjelang ketibaan Ramadan
BULAN Ramadan berada pada susunan turutan kesembilan dalam kalendar Hijrah iaitu selepas bulan Syaaban.
Masyarakat Islam diwajibkan berpuasa selama sebulan penuh di bulan Ramadan dengan ganjaran pahala yang dilipatgandakan.
Lazimnya, golongan beriman bergembira dengan kehadiran bulan Ramadan yang bakal menjelma lantaran tawaran yang lumayan dan istimewa dari Allah SWT.
Sebaliknya golongan munafik pula wujud rasa gelisah dan buntu dengan kehadiran Ramadan.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Allah SWT naungkan kepada kamu dengan berlabuhnya bulan Ramadan ini dengan Rasulullah bersumpah: Tiadalah berlalu ke atas orang Islam bulan yang lebih baik bagi mereka daripada bulan Ramadan dan tidaklah kepada munafiq itu lebih teruk daripada bulan Ramadan. Sesungguhnya Allah menulis pahala ganjarannya sebelum menjelmanya bulan dan juga menulis dosa serta kehinaan sebelum masuknya bulan Ramadan” (Riwayat Ahmad: no.8870).
Terdapat beberapa langkah persediaan dan persiapan bagi masyarakat Islam dalam menyambut kehadiran bulan Ramadan.
Pertama, anjuran berdoa menyambut ketibaan bulan Ramadan. Nabi SAW menyarankan sentiasa berdoa ketika menanti kehadiran bulan Ramadan saban tahun sebagai harapan dan kesediaan untuk lebih mendekatkan diri pada Allah SWT.
Permohonan doa kepada Allah SWT supaya diberikan keberkatan, keimanan dan keselamatan untuk menjadi benar-benar mampu untuk menempuhi Ramadan dengan amalan ibadah.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Ya Allah, naungilah kami dengan keamanan dan keimanan, keselamatan dan kesejahteraan. Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah” (Riwayat Ahmad: no.1397).
Selain itu, ramai dalam kalangan salaf al-soleh berdoa untuk mendapatkan Ramadan yang bermaksud: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadan, sejahterakanlah Ramadan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu)” (Riwayat al-Tabarani).
Sikap orang soleh terdahulu sentiasa berdoa kepada Allah selama enam bulan agar dipertemukan lagi dengan Ramadan dan diterima segala amalan soleh pada bulan Ramadan yang lalu.
Kedua, memperbaiki niat dan tujuan. Tanpa niat sesuatu perkara atau amalan tidak dikira sebagai ibadah, sebaliknya hanya menjadi adat kebiasaan dan sia-sia sahaja.
Berusahalah mempersiapkan niat untuk mengahadapi Ramadan pada kali ini kerana Allah SWT. Pastikan hati hanya fokus beribadah untuk mencari keredhaan Allah SWT. Usaha memperbaiki niat bukanlah sesuatu yang mudah dan senang untuk dilakukan.
Sufyan al-Thauri Rahimahullah yang terkenal dengan kehebatan ilmu dan kewarakan pernah berkata: “Tidaklah pernah aku merawat sesuatu yang paling sukar melainkan niatku (untuk ikhlas kepada Allah)”.
Allah SWT menegaskan dalam firman yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya” (Al-Bayyinah: 5).
Ketiga, menyediakan diri dengan ilmu pengetahuan. Masyarakat Islam perlu mempersiapkan diri dengan ilmu untuk menjalani ibadah di sepanjang bulan Ramadan.
Pelbagai aspek ilmu perlu diberi perhatian supaya dapat melaksanakan ibadah dengan baik dan sempurna antaranya syarat wajib puasa, rukun puasa, perkara yang membatalkan puasa, solat sunat tarawih, tadarus al-quran, qiamullail dan sebagainya.
Masyarakat Islam perlu berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan dan mengulangkaji semula bagi melakukan persiapan melaksanakan ibadah sepanjang bulan Ramadan.
Penganjuran ceramah, kuliah, forum dan tazkirah boleh dianjurkan oleh pelbagai pihak seperti jawatankuasa masjid, surau, pejabat, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya secara bersemuka atau dalam talian.
Demikianlah langkah persiapan yang boleh diusahakan dan dilakukan oleh masyarakat Islam dalam menyambut dan mengharungi ibadah sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini supaya mendapat keredhaan Allah SWT.
Semoga amalan ibadah dalam bulan Ramadan yang dilakukan pada tahun ini bertambah baik dan wujud peningkatan kualiti untuk dipersembahkan kepada Allah SWT pada hari akhirat kelak. - DagangNews.com