Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Volatiliti - 1 June 2022

Jangan terburu-buru bubar Parlimen, utamakan kesejahteraan rakyat

 

 

 

KINI, banyak desakan yang menuntut kerajaan membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

 

Adakah ada keperluan mendesak buat negara untuk mengadakan PRU15 dalam masa terdekat?

 

Jika dilihat dari situasi semasa, pihak tertentu yang mendesak agar PRU15 diadakan segera ini seakan-akan mempunyai agenda sendiri dan bukannya demi kepentingan rakyat dan negara.

 

Bagilah ruang dan masa untuk kerajaan mahupun rakyat bertenang setelah sekian lama bergelut dengan COVID-19 ini. Amat penat mental dan fizikal!

 

Dari sudut pandang berbeza, tidak ada salahnya jika kita memberi peluang kepada kerajaan sedia ada pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mentadbir negara hingga berakhir penggal semasa sebelum PRU15 dijalankan.

 

Rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup tinggi

Isu semasa yang lebih utama  untuk difikirkan oleh menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri atau ahli parlimen adalah mengenai beban rakyat kini yang menghadapi kos sara hidup yang tinggi.

 

Bukannya setiap hari “menyalak” meminta bubar Parlimen dan adakan PRU15. Kita lihat hari ini rakyat sangat terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

 

 

volatiliti

 

 

Kos barang keperluan naik mendadak

Data melalui Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan isi rumah yang berpendapatan bawah RM3,000 mengalami kenaikan harga telur sebanyak 13.4%, harga daging sebanyak 4.5 %, harga ayam sebanyak 10%,  sayur-sayuran sebanyak  4.3%, harga makanan laut sebanyak 3.7% dan kenaikan harga barangan asas yang lain juga.

 

Seperti yang kita tahu juga, kini lebih 600,000 isi rumah dari golongan M40 telah “terjerumus” ke dalam kelompok B40.

 

Kenaikan harga barang yang meningkat naik ini, pastinya menghimpit rakyat terutamanya golongan B40 ini.

 

Inilah yang setiap ahli parlimen fikirkan sama-sama untuk membantu kerajaan dalam membantu kelangsungan hidup rakyat dari memikirkan bubar parlimen dan PRU15 sahaja.

 

Adakah kerajaan akan perkenalkan GST semula?

Pastinya kerajaan sentiasa memikirkan untuk membantu rakyat demi kelangsungan hidup mereka.

 

Tetapi dalam masa yang sama, kerajaan juga “bergelut” untuk mencari atau mendapatkan pendapatan bagi menampung perbelanjaan negara.

 

Selepas pemansuhan Sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kerajaan telah kehilangan kira-kira RM20 bilion pendapatan tahunan apabila menggunakan kembali sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

 

 

GST

 

 

Dari sudut pandang ekonomi, jumlah ini satu jumlah yang besar yang kerajaan boleh manfaatkan jika jumlah ini diperoleh oleh kerajaan sebagai sumber pendapatan.

 

Kita juga perlu faham bebanan kerajaan dalam keadaan semasa. Antara sumber utama pendapatan kerajaan adalah melalui cukai.

 

Mungkin kerajaan akan mengembalikan GST semula sebagai salah satu cara menambah pendapatan negara.

 

Hasil cukai GST, tampung subsidi barang

Jika kerajaan benar-benar mahu membantu rakyat, jika GST dilaksanakan semula, hasil cukai GST ini perlu digunakan untuk memberi subsidi kepada barang-barang keperluan bagi mengawal harga barang yang semakin meningkat tinggi sekarang ini.

 

Jika kerajaan boleh menampung subsidi kepada barang-barang keperluan asas seperti beras, tepung, gula, minyak dan lain-lain, ia dilihat boleh mengimbangi semula harga barang asas yang naik mendadak ini.

 

Hal ini, sedikit sebanyak boleh membantu rakyat untuk mendapatkan barang keperluan asas dan harian dengan harga yang lebih murah sekali gus mengurangkan bebanan rakyat.

 

Ia memerlukan satu pelaksanaan yang menyeluruh  dari segi dasar kerajaan bagi membolehkan setiap rakyat di segenap lapisan mendapat manfaatnya. Ia tidak boleh pelaksanaan “acah-acah” atau agenda politik semata-mata.

 

 

volatiliti

 

 

Jangan pula GST bebankan rakyat

Tetapi apa yang rakyat takutkan adalah jika kerajaan mahu kembalikan semula sistem cukai GST, rakyat yang menanggung bebannya.

 

Sejarah pelaksanaan GST sebelum ini sememangnya agak “kontroversi” dan terma GST itu sendiri sangat sensitif dengan rakyat.

 

Kenapa rakyat takut dengan GST?

Rakyat takut pelaksanaan GST ini kerana banyak peniaga akan mengambil kesempatan menaikkan harga barang kerana peniaga “memindahkan beban cukai” yang dikenakan kepada mereka kepada rakyat.

 

Akhirnya, rakyat juga yang menanggung beban ini, Tidak selesai masalah. Kerajaan laksanakan GST untuk dapatkan hasil dan beri subsidi untuk bantu rakyat dapat harga barang yang rendah.

 

Dalam masa yang sama pula, peniaga pula memindahkan beban cukai mereka kepada rakyat. Rakyat dah macam mentimun dengan durian, langgar pun luka, dilanggar pun luka!

 

Jika kerajaan mahukan laksanakan GST semula, semua perkara ini perlu diteliti dan diperhalusi dengan baik. Langkah dan tindakan penguasaan juga perlu dilaksanakan.

Inilah yang menjadi “kelemahan” setiap dasar atau polisi yang dijalankan kerana tindakan penguasaan tidak dijalankan dengan baik bagi memastikan pelaksanaan sesuatu dasar dan polisi mencapai sasaran.

 

Ekonomi Negara pada landasan yang tepat

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5% pada suku pertama 2022 disokong oleh peningkatan permintaan dalam dan luar negara serta pemulihan pasaran buruh.

 

Perkembangan ini disumbang oleh sokongan oleh inisiatif di bawah Bajet 2022 yang mengembang dengan langkah yang giat dilaksanakan sejak awal tahun.

 

 

volatiliti

 

 

Selain itu, kesan limpahan daripada pelaksanaan langkah Bajet 2021 serta pakej-pakej rangsangan dan bantuan sebelum ini turut menyumbang kepada perkembangan pemulihan ekonomi negara.

 

Sepanjang suku tahun pertama 2022, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bulanan berkembang secara konsisten pada kadar 4.3% pada Januari, 5.2% pada Februari dan 5.4% pada Mac. 

 

Semua angka ini menunjukkan proses pemulihan ekonomi yang baik. Walaupun jika dilihat dari proses pemulihan ekonomi negara kini berada di landasan yang tepat, namun cabarannya adalah bagaimana menterjemahkan keadaan ekonomi yang meningkat baik ini kepada kehidupan rakyat yang menjadi persoalan?

 

Reformasi struktur langkah jangka masa panjang

Kerajaan juga perlu mereformasi struktur bagi mengambil langkah jangka masa panjang bagi isu kos sara hidup rakyat ini.

 

Peningkatan gaji secara berkala dan kawalan kos input pengeluaran dilihat sebagai langkah jangka masa panjang yang lebih efektif dan mapan berbanding pengenalan harga siling barang.

 

Selain itu, kerajaan perlu memperkakaskan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan  2021-2025 bagi memperkukuh sekuriti makanan negara bermula daripada input pertanian hingga ke sisa makanan.

 

Hak Yang Di-Pertuan Agong

Apa yang diharapkan agar semua Ahli Parlimen atau parti politik untuk “bersabar” dahulu untuk mengadakan PRU15.

 

 

volatiliti

 

 

Apa yang lebih penting kini adalah kepentingan rakyat dan kelangsungan hidup rakyat yang perlu diutamakan.

 

Namun begitu, kita perlu menghormati keputusan negara dalam mengadakan PRU15 dalam masa terdekat atau tidak.

 

Yang Di-Pertuan Agong mempunyai hak yang sah dari segi Perlembagaan sama ada mahu membubarkan Parlimen atau sebaliknya.

 

Baginda mempunyai hak untuk tidak menerima nasihat Perdana Menteri untuk bubar Parlimen atau pun tidak. Sama-sama kita tunggu!  - DagangNews.com

 

 
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags