Kadar pengangguran September menurun kepada 4.5%  | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran September menurun kepada 4.5% 

 

 

KUALA LUMPUR 9 Nov - Kadar pengangguran pada September 2021 terus menurun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 4.5% berbanding 4.6% pada Ogos 2021, menurut Jabatan Perangkaan hari ini.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, ini menyaksikan bilangan penganggur berkurangan bagi bulan kedua sebanyak 2.6% atau 19,200 merekodkan 729,600 berbanding Ogos 2021, sebanyak 748,800. 

 

"Begitu juga, perbandingan dengan setahun sebelumnya, kadar pengangguran menurun sebanyak 0.1 mata peratus (September 2020: 4.6%) manakala bilangan penganggur berkurangan sebanyak 1.1% atau bersamaan dengan 7,900 (September 2020: 737,500)," katanya dalam kenyataan. 

 

Pada September 2021, 83.7% daripada jumlah penganggur adalah penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan. 

 

Golongan ini berkurangan sebanyak 2.6% atau bersamaan 16,500 merekodkan 611,000 (Ogos 2021: 627,500). 

 

Mereka yang menganggur kurang daripada 3 bulan merangkumi 54.6% manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah sebanyak 8.4%. 

 

Penganggur tidak aktif yang percaya tiada pekerjaan tersedia turut merekodkan penurunan sebanyak 2.2% bulan ke bulan atau 2,600 kepada 118,700 (Ogos 2021: 121,300).

 

Pada bulan tersebut, kadar pengangguran belia bagi umur 15 hingga 24 tahun kekal pada 13.9% manakala bilangan penganggur belia meningkat sebanyak 14,000 (+4.4%) kepada 335,100 setelah mencatatkan penurunan pada bulan sebelumnya (Ogos 2021: 321,100). 

 

Bagaimanapun, kadar pengangguran bagi belia yang berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.3 mata peratus kepada 8.5% berbanding bulan sebelumnya, 8.8%.

 

Menurut Mohd. Uzir, bilangan tenaga buruh pada bulan tersebut berjumlah 16.19 juta orang, meningkat sebanyak 0.4% berbanding Ogos, 16.13 juta. 

 

Selaras dengan itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) naik sebanyak 0.2 mata peratus kepada 68.6% (Ogos 2021: 68.4%).

 

Beliau berkata, pelonggaran sekatan pergerakan telah menggalakkan lebih banyak aktiviti perjalanan di dalam negara dan meningkatkan permintaan terhadap barang dan perkhidmatan.

 

Katanya, aktiviti ekonomi yang dinamik secara berterusan akan mempercepatkan proses pemulihan perniagaan, dan seterusnya meningkatkan permintaan buruh dan akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. 

 

"Ekonomi negara dijangka meningkat pada bulan-bulan yang akan datang yang digambarkan oleh prestasi indeks pelopor (IP) yang lebih baik. 

 

"Sejajar dengan itu, pasaran buruh dijangka akan meningkat secara beransur-ansur dalam tempoh tersebut," katanya. - DagangNews.com