Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Volatiliti - 16 March 2022

Pelaksanaan gaji minimum: Ditelan mati emak, dibuang mati bapa

 

 

 

KERAJAAN telah mengumumkan akan mempercepatkan pelaksanaan gaji minimum di Malaysia.

 

Persoalan utama dalam isu ini adalah keperluan rakyat dan kemampuan majikan serta daya saing ekonomi. Yang mana lebih utama dan perlu dipilih?

 

volatiliti

 

Apa yang kita perlu faham dengan gaji minimum?

Gaji minimum menurut takrifan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) ialah jumlah umum saraan yang dikehendaki oleh majikan untuk membayar upah bagi kerja yang dilakukan dalam tempoh tertentu.

 

Jumlah bayaran ini tidak boleh sama sekali dikurangkan secara kolektif atau kontrak individu.

 

Tujuan penetapan gaji minimum adalah untuk melindungi pekerja dari gaji yang terlampau rendah, juga bagi membantu memastikan bahagian yang adil dan saksama dari hasil kemajuan kepada semua.

 

Selain itu, ia juga boleh menjadi salah satu elemen dasar untuk mengatasi kemiskinan dan mengurangkan ketidaksamaan dan hak untuk bayaran yang sama rata dengan nilai kerja.

 

Gaji minimum sebelum ini

Sebelum ini kerajaan telah meletakkan kadar gaji minimum sebanyak RM1,200 sebulan di bandar utama di bawah pentadbiran 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran, manakala kadar gaji minimum kekal pada RM1,100 sebulan di kawasan selain wilayah bandar utama.

 

Kadar ini telah diwartakan dan berkuatkuasa pada 1 Februari 2020. Kini, kita sudah memasuki tahun 2022, adakah masih relevan jumlah gaji minimum RM1,200 ini?

 

Bagi individu yang menetap di Lembah Klang, dengan komitmen bagi menampung keperluan asas dengan kos sara hidup yang meningkat, wang simpanan, insurans perlindungan dan kesihatan adalah sangat tidak wajar dan membebankan.

 

 

volatiliti
Kos kehidupan di Kuala Lumpur sangat tinggi sekarang.

 

Tuntutan kenaikan gaji minimum RM1,500

Atas faktor inilah, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), mencadangkan agar gaji minimum dinaikkan sebanyak RM300 menjadi RM1,500.

 

Jumlah ini masih munasabah berikutan kesan proses pasca pandemik dan tragedi banjir yang melanda negara yang memberi impak yang besar rakyat untuk kembali membangunkan ekonomi keluarga dan perniagaan.

 

Lakukan semakan gaji 2 tahun sekali

Bolehkah kerajaan membuat semakan gaji ini sedangkan pada tahun 2020, kerajaan telah berbuat demikian?

 

Nampaknya, kerajaan perlu lakukan semakan gaji minimum ini sekurang-kurangnya setiap 2 tahun sekali. Adakah kekerapan ini masuk akal? Ya, ini kerana perubahan kos barang-barang dan pengeluaran juga berlaku dalam tempoh masa ini.

 

Jika semakan gaji tidak dilakukan bagaimana jumlah gaji yang sama boleh menampung kos kehidupan yang semakin meningkat.

 

Semakan gaji ini adalah selaras dengan Akta 732, Seksyen 25(1), Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang boleh dilakukan oleh kerajaan.

 

Kos sara hidup semakin meningkat

Kini kos sara hidup rakyat semakin meningkat. Sejak kebelakangan ini, kos kenaikan barang berlaku dengan begitu ketara sekali.

 

Bermula dengan telur ayam, minyak masak peket sehinggalah kepada sayur dan pelbagai jenis barang keperluan harian lain turut naik.

 

Apa yang menjadi persoalannya ialah, apakah punca kenaikan serentak harga barang ini? Adakah disebabkan oleh kerancakan semula ekonomi selepas pandemik atau ia percaturan mana-mana kartel untuk menguasai bisnes import makanan?

 

Atau mungkin juga ia disebabkan oleh faktor cuaca memandangkan negara  kini dilanda krisis cuaca yang tidak menentu.

 

Apa pun jawapannya, rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi ini.

 

 

volatiliti

 

Tahap kemiskinan semakin serius

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan isi rumah kategori miskin tegar meningkat kepada 639,800 pada tahun 2020 berbanding 405,400 pada tahun 2019. Ini secara langsung membawa kepada peningkatan kadar kemiskinan mutlak daripada 5.6% pada tahun 2019 kepada 8.4% pada tahun 2020.

 

Sementara itu, kadar kemiskinan tegar dianggarkan meningkat daripada 0.4% (2019) kepada 1.0% yang melibatkan 78,000 isi rumah.

 

Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila masih ramai  lagi pekerja di Malaysia memperoleh gaji yang rendah iaitu di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan negara.

 

Adakah kita mahu rakyat terus dihimpit belenggu ini?

 

Konflik isu gaji antara majikan dan pekerja

Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan telah pun mengambil langkah untuk membantu rakyat.

 

Pada penghujung tahun lalu, Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) telah diadakan di mana Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara (JTPGN) telah membentangkan hasil dapatan dan syor Kajian Impak dan Kajian Semula Perintah Gaji Minimum (PGM).

 

Kajian Impak yang dilakukan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui MPGN menjalankan enam sesi libat urus mengikut zon yang dihadiri 209 persatuan majikan, 93 kesatuan sekerja dan empat NGO mengenai kajian semula gaji minimum ini.

 

Namun begitu dapatan kajian ialah wujudnya konflik dalam penetapan kenaikan gaji ini di antara majikan dan pekerja. Pihak majikan mahu agar kadar gaji minimum sedia ada dikekalkan. Manakala pihak pekerja pula mengesyorkan supaya kadar gaji minimum dinaikkan.

 

Konsensus tidak diperoleh melalui MPGN ini.  

 

 

volatiliti

 

Lebih banyak syarikat gulung tikar jika laksana gaji minimum baharu

Ini yang kerajaan “pening kepala” dalam mengimbangi permintaan majikan dan pekerja. Dari sisi berbeza jika gaji minimum ini dinaikkan, ia juga akan mengakibatkan lebih banyak syarikat dan usahawan mengalami kerugian, seterusnya terpaksa “gulung tikar”.

 

Jumlah pekerja sektor pembuatan dan sektor tidak mahir terutamanya yang akan mendapat manfaat jika gaji minimum ini ditingkatkan. Jumlah pekerja dari sektor pembuatan sebanyak 1.8 juta manakala sektor tidak mahir 1.5 juta.

 

Kebanyakan majikan yang terlibat adalah dari kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). PKS ini juga baru “hendak bernafas kembali”. Dengan bebanan membayar kenaikan kos gaji kepada pekerja , PKS akan menanggung kos operasi mereka yang lebih tinggi.

 

Kita perlu melihat kepada konteks yang lebih luas, jika PKS mempunyai lebih 50 pekerja atau lebih, berapa kenaikan kos operasi bulanan yang terpaksa ditanggung dan ia adalah berterusan dan bukannya secara “one-off”.

 

Apa yang lebih kita tidak mahukan, jangan ada pula PKS yang memindahkan peningkatan kos operasi mereka kepada pengguna dalam bentuk kenaikan harga barang.

 

Akhirnya, ia tidak selesai juga. Ibarat “tutup lubang dan gali lubang semula”

 

Alternatif pelaksanaan gaji minimum ini

Jika kerajaan membuat keputusan tidak menaikkan gaji minimum ini kerana faktor majikan, pasaran buruh yang boleh  menjejaskan daya saing negara dalam menarik pelaburan asing, kerajaan perlu berikan alternatif kepada rakyat demi kelangsungan hidup dalam kos sara hidup yang semakin meningkat.

 

Dasar sistem upah bersandarkan produktiviti boleh dijadikan alternatif bagi membantu rakyat.

 

 

volatiliti

 

Selain membantu meringankan bebanan rakyat dengan dibayar setimpal dengan usaha dan produktiviti mereka, dasar ini juga boleh menjamin daya saing negara di samping menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup rakyat.

 

Tuntasnya, penetapan gaji minimum ini menjadi kayu pengukur dalam mengukur pertumbuhan ekonomi.

 

Ini kerana dasar gaji minimum memberi impak pelbagai aspek ekonomi, politik, sosial, pasaran  buruh, pelaburan asing  dan kelangsungan hidup rakyat.

 

Kerajaan perlu memperhalusi ianya sebaik mungkin. Untuk mengimbangi semuanya bukan mudah bagi kerajaan, ibarat ditelan mati emak, dibuang mati bapak!  - DagangNews.com

 
 
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags