Pencerobohan data iPay88, BNM yakin sistem bayaran negara selamat | DagangNews Skip to main content

Pencerobohan data iPay88, BNM yakin sistem bayaran negara selamat

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan pencerobohan data yang diumumkan oleh iPay88 (M) Sdn. Bhd. hanya berpunca daripada sistem pembayaran kad iPay88 dan tidak melibatkan kelemahan dalam sistem institusi perbankan.

 

Ketika ini, bank pusat menegaskan siasatan forensik masih dijalankan, menurutnya dalam kenyataan hari ini.

 

Berikutan insiden itu, BNM telah mengarahkan bank-bank untuk segera memaklumkan pemegang kad yang terlibat tentang langkah-langkah perlindungan tambahan yang akan diambil untuk terus melindungi pengguna daripada risiko penipuan transaksi atau transaksi tanpa kebenaran. 

 

"Bank-bank juga telah mempertingkatkan pengurusan risiko penipuan serta memantau aktiviti yang mencurigakan atau aktiviti penipuan yang menggunakan kad-kad yang terlibat," katanya.

 

Semalam, penyedia penyelesaian pembayaran dalam talian, iPay88 mengesahkan berlaku insiden keselamatan siber yang mungkin telah menjejaskan data kad pengguna.

 

Sejak 31 Mei lalu, ia telah menggunakan pakar keselamatan siber bagi membendung isu berkenaan dan proses penyekatan berjaya diselesaikan dan tiada lagi aktiviti mencurigakan dikesan sejak 20 Julai.

 

Menurut BNM, institusi kewangan di Malaysia juga mengamalkan kaedah pengesahan yang mantap bagi transaksi kad secara dalam talian, termasuk memaklumkan pemegang kad dengan segera untuk pengesahan lanjut apabila terdapat transaksi yang dianggap lebih berisiko. 

 

"Hal ini mengurangkan risiko berlakunya penipuan transaksi. Bagi transaksi yang tidak menggunakan pengesahan, khususnya pembelian daripada peniaga di luar negara, pelanggan tidak akan dipertanggungjawabkan untuk sebarang penipuan transaksi atau transaksi tanpa kebenaran yang mungkin terjadi susulan insiden ini," jelasnya.

 

BNM berkata, pihaknya memandang serius sebarang insiden yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap sistem pembayaran dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penyeliaan atau penguatkuasaan yang sewajarnya bagi memastikan kawalan keselamatan yang kukuh dilaksanakan dan diamalkan oleh institusi kewangan serta memastikan pelanggan mendapat layanan yang adil. 

 

"Pelanggan dinasihatkan untuk segera memaklumkan kepada bank mereka jika terdapat transaksi luar daripada kebiasaan atau transaksi tanpa kebenaran yang menggunakan kad mereka," katanya. - DagangNews.com