KUALA LUMPUR 20 Okt. - Pengeluaran minyak sayuran dunia iaitu minyak sawit, minyak bunga matahari, minyak kacang soya dan minyak biji sesawi dijangka meningkat kira-kira 7 juta tan metrik bagi tempoh 2021/2022, pertumbuhan terbesar dalam tempoh 4 tahun, menurut Oil World.
Dalam pembentangan pada seminar Pointers on Price Trends Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) yang diadakan secara maya, Ketua Oil World, Thomas Mielke berkata, ini susulan defisit pengeluaran global selama 2 tahun dan penurunan stok minyak sayuran.
Katanya, jika unjuran ini menjadi kenyataan, harga minyak sayuran dijangka jatuh dan harga purata makanan akan menjadi tinggi semasa tempoh tersebut
"Pengeluaran minyak sawit dunia pulih hanya sebanyak 1.7 juta tan metrik pada tempoh Oktober 2020 hingga September 2021.
"Peningkatan sebanyak 3.5 juta hingga 4 juta tan metrik dijangkakan bagi musim ini (2021/2022)," katanya hari ini seperti dilapor Bernama.
Daripada jumlah itu, pengeluaran di Indonesia dijangka meningkat sebanyak 1.7 hingga 2 juta tan metrik, pengeluaran di Malaysia diunjur meningkat 1 hingga 1.2 juta tan metrik dan negara-negara lain dijangka menyumbang kira-kira 0.8 juta tan metrik.
Menurut beliau, di Malaysia, purata hasil minyak sawit dijangka turun ke paras terendah dalam tempoh 20 tahun pada 2021 dan jumlah pengeluaran kepada hanya 18.2 juta tan metrik atau malahan kurang lagi, meskipun cuaca yang secara umumnya baik.
“Keseluruhannya, bagi tahun ini, pengeluaran minyak sawit Malaysia dijangka mencapai kira-kira 4 juta tan metrik di bawah potensi disebabkan antara lainnya, kekurangan buruh.
"Bagaimanapun keadaan dijangka bertambah baik tahun depan dengan 32,000 pekerja asing telah dibenarkan memasuki negara,” katanya.
Aliran menurun pengeluaran minyak sawit telah menyaksikan komoditi itu mencatatkan harga tertinggi baharu sejajar dengan prestasi harga minyak sayuran lain.
Mengulas mengenai langkah kerajaan Malaysia membenarkan kemasukan pekerja asing itu, Timbalan Pengerusi Am Persatuan Minyak Sawit Indonesia (GAPKI), Togar Sitanggang berkata, ia boleh membantu mengurangkan masalah pengeluaran rendah yang dihadapi pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia itu sekarang.
Beliau berkata, perubahan duti India turut menyokong eksport minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia ke pasaran pengguna minyak sawit terbesar dunia itu pada 2020.
Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, India muncul sebagai destinasi eksport minyak sawit terbesar Malaysia sebanyak 22.15%, diikuti China (11.38%), Belanda (6.4%) dan Turki (4.37%). - DagangNews.com