Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Irsyad - 7 January 2022

 

Pengertian dan aplikasi sabar

 

 

 

SABAR adalah salah satu sifat ‘mahmudah’ iaitu terpuji dan sering disebut-sebut dalam menjalani kehidupan seharian.

 

Sabar bukanlah suatu perkara yang mudah untuk diterapkan dan diaplikasikan dalam kehidupan, namun tidak mustahil seseorang boleh memiliki sifat sabar yang tinggi.

 

Perkataan sabar adalah berasal dari bahasa Arab iaitu ‘sabara-yasbiru’ yang bermaksud menahan.

 

Sabar dari sudut istilah ialah menahan diri atas segala bentuk kesulitan, kesedihan atau menahan diri saat menghadapi segala sesuatu yang tidak disukai dan dibenci.

 

Sabar mempunyai makna yang sangat luas, tidak hanya dipraktik ketika seseorang ditimpa musibah.

 

Malah, setiap pekerjaan yang dilakukan dan diterima harus disertai dan diiringi dengan sikap sabar.

 

 

irsyad

 

 

Allah SWT telah menyebut kata sabar sekitar 70 kali di dalam al-Quran untuk menunjukkan betapa tinggi nilai, kepentingan dan keutamaan.

 

Selanjutnya, ungkapan yang khusus diperuntukkan bagi golongan yang bersabar dinyatakan dalam 16 ayat yang berbeza-beza di dalam al-Quran.

 

Antaranya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan mohonlah pertolongan terhadap Allah SWT dengan sabar dan solat” (Surah al-Baqarah: 45).

 

Seterusnya, sabar sangat hampir dengan keimanan seperti dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan orang yang bersabar dalam musibah, penderitaan dan peperangan, mereka itulah orang yang benar imannya dan mereka itulah orang yang bertakwa" (Surah al-Baqarah: 177).

 

Selain itu, Allah SWT telah menyatakan kebersamaan dengan orang yang sabar melalui firman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar” (Surah al-Baqarah: 153).

 

 

irsyad

 

 

Islam telah menggariskan tiga jenis sabar yang perlu ditempuhi dan dijalani oleh seseorang muslim dalam kehidupan seharian.

 

Pertama, sabar dalam menjalankan perintah dan ketaatan kepada Allah SWT. Ketaatan kepada Allah merupakan perkara yang wajib diikuti oleh semua manusia.

 

Inilah darjat sabar yang paling agung diharapkan ketika melaksanakan ketaatan, lalu bersabar terhadapnya dan menyabarkan diri, supaya sentiasa tetap melaksanakan sesuai dengan bentuk yang paling sempurna, penuh khusyuk dan ketundukan.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan perintahkanlah kepada keluargamu untuk mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya, kami tidak meminta rezeki kepadamu kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan akibat yang baik itu adalah bagi orang yang takwa" (Surah Toha: 132).

 

Ibadah seperti solat, zakat, puasa, dakwah, dan lain-lain perlu dilaksanakan dengan sabar jika berkeinginan untuk mengecapi kejayaan seperti dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang yang khusyuk" (Surah al-Baqarah: 45).

 

Kedua, sabar terhadap perkara yang dilarang oleh Allah SWT dalam meninggalkan kemaksiatan. Ketika jiwa sentiasa meronta dan mengarah kepada kejahatan dan membinasakan, lalu bersabar dan mengharapkan pahala hanya daripada Allah SWT.

 

Manusia memerlukan kesabaran dalam menjalani kehidupan yang sementara di dunia dan sabar daripada melayan nafsu yang membinasakan. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak disukai, manakala neraka pula dikelilingi oleh perkara-perkara yang memuaskan syahwat” (Riwayat al-Tirmizi).

 

Lazimnya, sabar dalam meninggalkan kemaksiatan berdepan dengan dugaan dan cabaran yang besar. Sering kali individu yang cuba berubah kepada kebaikan akan dicemuh dan difitnah sehingga menggoyahkan kesabaran untuk kekal dalam kebaikan.

 

Masyarakat Islam harus bersabar pada setiap larangan yang telah dinyatakan oleh Allah SWT. Sebaliknya, perlu zahirkan keyakinan bahawa semua larangan tersebut memiliki hikmah dan rahsia yang tersembunyi.

 

Ketiga, sabar terhadap ujian dan takdir Allah SWT yang menyakitkan. Tiada seorang pun yang terlepas daripada kesakitan badan, kesakitan jiwa, kerugian harta benda dan kehilangan orang yang dikasihi.

 

Ujian ini hadir tidak mengenal individu samada baik atau jahat, mukmin atau kafir, namun yang membezakan adalah cara orang mukmin menghadapi setiap musibah itu dengan keredaan dan ketenangan kerana yakin itu adalah ujian Allah untuk menguji hambaNya.

 

Firman Allah yang bermaksud: “Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar” (Surah al-Baqarah: 155)

 

 

irsyad

 

 

Seterusnya Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya harta benda dan anak kamu adalah ujian dan pada Allah juga pahala yang besar" (Surah al-Taghabun: 15).

 

Demikianlah, sifat sabar mampu membawa diri seseorang untuk dekat dengan Allah SWT. Sifat sabar merupakan sifat yang cukup hebat sehinggakan Allah menyebutkan dalam al-Quran dalam banyak ayat dan tempat. - DagangNews.com

 

 

DR. AZRI BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags