Proton serah tajaan 10 kenderaan untuk penganjuran SUKIPT 2022 | DagangNews Skip to main content

Proton serah tajaan 10 kenderaan untuk penganjuran SUKIPT 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Pengeluar kereta nasional, Proton telah menyampaikan 10 unit kenderaan yang terdiri daripada pelbagai model kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menyokong penganjuran Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2022.

 

Acara sukan dwi tahunan anjuran KPT itu akan diadakan dari 12 hingga 21 Ogos 2022 di Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak. 

 

Terdapat 21 acara sukan dengan anggaran penyertaan kira-kira 6,000 atlet dan pegawai institusi pengajian tinggi dari seluruh Malaysia.

 

Sumbangan Proton yang terdiri daripada lapan unit Proton Perdana, satu unit Proton X70 dan satu unit Proton Saga itu diserahkan kepada Timbalan Ketua Setiausaha Dasar KPT, Datuk Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Timbalan Setiausaha Sukan KPT, Datuk Dr. Pekan Ramli di kementerian itu baru-baru ini.

 

Pengurus Besar Proton Edar, Wan Ahmad Fadzli Wan Mustafa berkata, ia merupakan kali kedua Proton menyokong SUKIPT setelah terlibat sebagai penaja temasya edisi 2012. 

 

"Syarikat berbangga kerana dapat memainkan peranan dalam acara sukan yang penting untuk pelajar pengajian tinggi ini dan kami berharap penajaan kami akan membantu dalam memastikan kelancaran SUKIPT 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Selain peranannya dalam temasya sukan itu, Proton juga telah menyumbang untuk pembangunan sukan di sekolah-sekolah di Tanjung Malim tahun ini. 

 

 

proton

 

 

proton

 

 

Syarikat menyampaikan sumbangan wang tunai dan peralatan sukan kepada SMK dan SK Proton City pada 27 Jun, manakala pada 28 Julai sumbangan tunai disampaikan kepada Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) di Kuala Nerus, Terengganu bagi menyokong program kecemerlangan akademik sekolah. - DagangNews.com