Public Investment Bank unjur pendapatan 2022 TM berkurang 6% susulan pelaksanaan Cukai Makmur | DagangNews Skip to main content

Public Investment Bank unjur pendapatan 2022 TM berkurang 6% susulan pelaksanaan Cukai Makmur

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov - Public Investment Bank mengurangkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2022 (FY22) Telekom Malaysia Bhd sebanyak 6% dengan mengambil kira impak Cukai Makmur yang akan dilaksanakan tahun depan.

 

Untuk itu, firma penganalisis itu berkata, pihaknya turut menyemak semula harga sasaran TM daripada RM6.90 kepada RM6.70 sesaham.

 

"Kami mengekalkan rating 'Outperform' bagi TM kerana kami percaya sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbesar negara, ia harus mendapat manfaat daripada permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian pajakan gentian dan pusat data di Malaysia," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

TM mencatatkan pertumbuhan hasil yang kukuh bagi keputusan kewangan sembilan bulan pertama tahun kewangan 2021 dengan peningkatan 6.8% kepada RM8.38 bilion, daripada RM7.84 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar dalam kenyataannya semalam berkata, pencapaian tersebut didorong oleh peningkatan hasil daripada semua barisan produk, khususnya perkhidmatan Internet yang menyaksikan peningkatan 6.8% berikutan pertumbuhan mantap dalam pangkalan pelanggan jalur lebar tetap.

 

Katanya, TM turut mencatatkan peningkatan tertinggi dalam pelanggan unifi untuk tiga suku berturut-turut. 

 

Pada suku dalam tinjauan, TM mencatatkan pertambahan 210,000 pelanggan baharu unifi baharu dalam kedua-dua segmen pengguna dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS). 

 

"Kami mengaitkan ini dengan permintaan yang lebih kukuh untuk sambungan kediaman semasa tempoh 'lockdown' kerana kebanyakan orang bekerja dari rumah.

 

"Streamyx, bagaimanapun, menyaksikan asas pelanggannya terus menurun 44.4% tahun ke tahun walaupun pendapatan purata setiap pengguna (ARPU lebih stabil sebanyak RM92," kata Public Investment. -DagangNews.com