Skip to main content

Rexy kembali ke Malaysia semula untuk tebus kegagalan lahirkan juara dunia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Dis - Legenda badminton Indonesia, Rexy Mainaky mengakui kegagalan menghasilkan juara dunia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik menjadi faktor utama di menerima tawaran untuk kembali ke Malaysia.

 

Dia yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pernah berkhidmat di Malaysia sebelum ini selama tujuh tahun setengah bermula 2005 hingga 2012.

 

"Saya akui sebelum ini kita gagal memenangi gelaran juara dunia dan pingat emas Olimpik. Ini adalah sesuatu yang saya inginkan sejak dulu lagi.

 

"Jadi, apabila Datuk Kenny Goh (Setiausaha Agung BAM) menghubungi saya dan memberikan tawaran, saya terus menerimanya tanpa berfikir panjang.

 

"Saya akan berusaha mencari ramuan terbaik bagi memastikan sasaran itu tercapai," kata jurulatih berusia 54 tahun itu yang sebelum ini pernah berkhidmat selaku Pengarah Kejurulatih Persatuan Badminton Thailand (BAT).

 

Dalam pada itu, Rexy juga berazam untuk membantu pasangan beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk meraih kejuaraan pertama di persada antarabangsa.

 

rexy

 

"Saya sedar Aaron-Wooi Yik masih belum meraih gelaran juara, kita perlu cari mengapa perkara ini terjadi. Aaron-Wooi Yik juga perlu terbuka jika mereka mahu bergerak ke hadapan.

 

"Mereka tidak boleh fikir yang mereka adalah pemain elit kerana masih belum meraih gelaran juara. Usia mereka semakin meningkat dan jika ini berterusan (tidak meraih gelaran juara), tahap keyakinan mereka akan menurun.

 

"Kita perlu menilai semula dan lihat jika ada terlepas sesuatu. Kita perlu buat keputusan yang berani," katanya. - DagangNews.com