RHB Research positif dengan penyertaan Ranhill Utilities dalam ruang solar selepas raih lanjutan projek LSS4 | DagangNews Skip to main content

RHB Research positif dengan penyertaan Ranhill Utilities dalam ruang solar selepas raih lanjutan projek LSS4

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 0gos - Lanjutan perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang diperoleh Ranhill Utilities Bhd. baru-baru ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan di tengah-tengah harga peralatan yang lebih tinggi, seperti panel solar, yang meningkat 20 peratus. 

 

Sebaliknya, RHB Research melihat lanjutan PPA bagi projek solar berskala besar 4@MEnTARI (LSS4) itu adalah positif kepada penyertaan kumpulan dalam ruang solar. 

 

Ini kerana, katanya, ia membolehkan kumpulan mendapatkan balik pelaburannya dengan lebih cekap dan meningkatkan sedikit kadar pulangan dalaman (IRR).

 

"Dalam tempoh 21 tahun, unjuran aliran tunai terdiskaun (DCF) kami untuk projek LSS4 di Perak ialah 6.7 peratus.

 

"Selepas membuat pelarasan bagi lanjutan empat tahun, unjuran IRR terkini bagi projek LSS4 di Perak kini pada 7.3 peratus," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Ranhill terima lanjutan 4 tahun sehingga 2048 bagi Loji PV di Batang Padang, Perak

 

Semalam, Ranhill Utilities memperoleh lanjutan empat tahun PPA untuk membangunkan 50 megawatt (MW) (LSS4@MEnTARI) di Perak menjadikannya kepada 25 tahun daripada 21 tahun sebelum itu.

 

Ia menerima surat pemberitahuan daripada Suruhanjaya Tenaga melalui anak syarikat milik penuhnya, Ranhill Solar I Sdn Bhd (RSI), mengenai perjanjian lanjutan tersebut.

 

Unitnya itu turut menerima lanjutan tarikh tutup kewangan projek itu dari 30 Jun 2022 hingga 30 September 2022, manakala tarikh operasi komersial yang dijadualkan dilanjutkan hingga 31 Disember 2023.

 

Susulan itu, RHB Research tidak membuat sebarang perubahan terhadap anggaran keuntungan kerana telah mengambil kira operasi projek LSS4 yang akan dimulakan selepas 31 Disember 2023.

 

Ini mendorong firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Ranhill Utilities dengan harga sasaran pada 67 sen daripada 66 sen sebelum ini. - DagangNews.com