Rumah berharga di bawah RM500,000 paling banyak tidak terjual | DagangNews Skip to main content

Rumah berharga di bawah RM500,000 paling banyak tidak terjual

Kondominium dan pangsapuri menyumbang paling banyak unit tidak terjual pada suku pertama 2022. - Gambar hiasan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Masalah lebihan bekalan dengan unit tidak terjual dalam pasaran hartanah di negara ini semakin meningkat sebahagian besarnya disumbangkan menerusi kediaman jenis kondominium dan pangsapuri terutamanya berharga di bawah RM500,000.

 

Kediaman bagi kategori itu mencecah sebanyak 20,680 unit atau 58% daripada keseluruhan kediaman tidak terjual diikuti rumah 2 atau 3 tingkat sebanyak 17% atau 5,889 unit dan Semi-D kira-kira 5%. 

 

Penganalisis MIDF Research, Jessice Low Jze Tieng berkata, hartanah yang berharga antara RM300,001 hingga RM400,000 didapati paling banyak tidak terjual sebanyak 5,565 unit manakala harga antara RM200,001 hingga RM300,000 pula menyumbang sebanyak 5,245 unit. 

 

"Keadaan lebihan bekalan adalah lebih jelas bagi hartanah yang berharga dalam julat harga mampu milik di bawah RM500,000 kerana ia menyumbang kepada 58% daripada jumlah unit tidak terjual.

 

"Sementara itu, hartanah berharga antara RM500,000 hingga RM1 juta menyumbang 29% kepada unit tidak terjual manakala harga melebihi RM1 juta pula sebanyak 13%," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

 

Sumber : MIDF Research

 

 

Data yang dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan kediaman tidak terjual pada suku pertama 2022 meningkat kepada 35,592 unit berbanding 27,468 unit bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Didapati Johor memiliki rumah siap tidak terjual paling tinggi sebanyak 5,992 unit diikuti Pulau Pinang (5,816 unit) dan Selangor (5,215 unit). 

 

Johor kekal dalam senarai 3 teratas sejak beberapa tahun kebelakangan ini terutamanya disebabkan bangunan hartanah kediaman yang berlebihan yang mengatasi permintaan untuk hartanah di negeri ini.

 

Menurut Jze Tieng, peningkatan unit tidak terjual ini mungkin disebabkan gangguan aktiviti ekonomi ekoran beberapa langkah sekatan pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 di Malaysia.

 

Situasi itu, katanya, turut mencerminkan kebimbangan berlarutan terhadap lebihan bekalan dalam pasaran hartanah.

 

"Meskipun, kami dapati unit rumah tidak terjual berkurangan pada suku pertama berbanding 36,863 unit pada suku keempat 2021 apabila ekonomi dibuka semula, tetapi kami berpendapat isu lebihan bekalan dalam pasaran hartanah masih kekal kerana unit tidak terjual masih tinggi pada suku pertama melebihi 30,000 unit," jelasnya.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, inisiatif pemilikan perumahan Keluarga Malaysia atau i-Miliki yang dilancarkan kerajaan baru-baru ini mampu membantu mengurangkan unit tidak terjual khususnya membabitkan kediaman berharga di bawah RM500,000.

 

Namun, katanya, prospek sektor hartanah dalam tempoh terdekat masih kekal tidak menarik ekoran kebimbangan isu lebihan bekalan. 

 

 

Sumber : MIDF Research

 

 

Menurutnya, dengan unit tidak terjual masih kekal tinggi pada suku pertama, ia secara tidak langsung menjadikan pasaran hartanah kekal kompetitif dan menggesa pemaju hartanah menawarkan pakej menarik untuk pembeli.

 

"Keadaan ini juga boleh menyebabkan pemaju hartanah tidak dapat menyalurkan sepenuhnya kos pembinaan yang semakin meningkat kepada pembeli dan menyebabkan berlakunya pemampatan margin kepada pemaju hartanah," katanya. 

 

Mengambil kira faktor tersebut, beliau mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor hartanah meletakkan Mah Sing Group Bhd. dan IOI Properties Bhd. sebagai pilihan utama sektor itu dengan saranan 'beli'. - DagangNews.com