KUALA LUMPUR 29 April - Samaiden Group Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Samaiden Sdn. Bhd. (SSB) telah menerima surat anugerah daripada Heliosel Sdn. Bhd. (Heliosel) untuk membangunkan loji fotovoltaik (PV) solar SelfConsumption (SelCo) di Selangor.
Kerja-kerja bagi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM32.86 juta itu diterima oleh SSB pada 21 April 2022, manakala kelulusan Heliosel untuk mengumumkannya diperoleh hari ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Samaiden berkata, loji PV solar SelCo itu terletak di loji rawatan air di Bestari Jaya, dan permulaan kerja-kerja bagi kontrak itu adalah pada 21 April 2022.
"Kontrak ini akan disiapkan dalam tempoh 7 setengah bulan dari tarikh permulaan," katanya hari ini.
Menurutnya, skop kerja EPCC termasuk penyiapan reka bentuk, pembuatan, ujian kilang, penghantaran ke tapak, latihan kakitangan dan tanggungjawab Heliosel semasa tempoh liabiliti kecacatan untuk projek, dan semua keperluan lain seperti yang diterangkan mengikut surat anugerah itu.
Heliosel dimiliki sepenuhnya oleh Air Selangor Holdings Bhd. dan terlibat dalam pembangunan, pemasangan, operasi, dan penjualan kemudahan/penjanaan tenaga hijau serta penyediaan penyelesaian yang berkaitan dengan kecekapan tenaga. - DagangNews.com