Skip to main content

Solution Group catat hasil RM31.78 juta pada Q3FY21

 

KUALA LUMPUR 27 Nov - Solution Group Bhd (SGB) antara syarikat perkhidmatan perubatan yang meraih manfaat daripada pandemik COVID-19 dengan catatan hasil RM31.78 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2021, melonjak 500.93% berbanding RM5.29 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

 

Pertumbuhan ketara pendapatan SGB bagi tempoh sembilan bulan disumbangkan kebanyakan daripada bahagian biopharma dan tenaga boleh diperbaharui yang menyumbang RM37.72 juta daripada keseluruhan pendapatan berbanding hanya RM190,000 yang diraih tempoh sama tahun lalu.

 

Pengarah Urusan Kumpulan SGB, Barry Lim berkata, pencapaian kewangan kumpulan adalah tertinggi bagi suku tahun yang membuktikan syarikat itu ke arah landasan tepat menerusi strateginya mempelbagaikan perniagaan penjagaan kesihatan dan tenaga hijau.

 

"Anak syarikat milik penuh kami, Solution Biologics Sdn Bhd (SOLBIO), akan dapat memasarkan vaksin Convidecia COVID-19 ke pasaran swasta seperti hospital, klinik, serta sektor korporat dan pembuatan di Malaysia mulai bulan depan.

 

"Pada masa yang sama, kami juga menjangkakan pengeluaran tempatan dalam kemudahan fill and finish (F&F) yang akan dimulakan tidak lama lagi, kerana audit Amalan Pengilangan Baik (GMP) telah dijalankan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada awal Oktober, dengan pensijilan dijangka diterima kami menjelang Disember ini," katanya.

 

Pada 16 November 2021, SGB telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memulakan jualan swasta vaksin Convidecia COVID-19 CanSino Biologics Inc (CanSino).

 

SGB ​​juga telah memohon kepada NPRA untuk mendapatkan vaksin CanSino Convidecia COVID-19 untuk digunakan sebagai suntikan penggalak dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

 

Sehingga kini, SOLBIO telah menyelesaikan penghantaran 2.9 juta dos vaksin COVID-19 kepada KKM, dengan baki 600,000 dos akan dihantar menjelang pertengahan Disember.

 

Barry Lim
Barry Lim

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) dan keuntungan selepas cukai (PAT) turut menunjukkan pemulihan pada suku dikaji, masing-masing meningkat 428.77% dan 304.68% kepada RM3.05 juta dan RM2.34 juta.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021, SGB meraih pendapatan RM45.91 juta, meningkat 276.04% berbanding RM12.21 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Bagi tempoh Januari hingga September, PBT dan PAT juga menunjukkan pemulihan ketara iaitu masing-masing 746.27& dan 384.16% kepada RM2.73 juta dan RM1.56 juta. - DagangNews.com