SP Setia dijangka tingkat sasaran jualan menerusi pelancaran projek bernilai RM4.25 bilion | DagangNews Skip to main content

SP Setia dijangka tingkat sasaran jualan menerusi pelancaran projek bernilai RM4.25 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Jan - SP Setia akan meningkatkan sasaran jualan hartanahnya bagi tahun kewangan 2022 berbanding tahun lalu menerusi pelancaran projek baharu bernilai RM4.25 bilion berbanding RM2.7 bilion pada tahun kewangan 2021.

 

Penganalisis CGS-CIMB Research, Ngo Siew Teng berkata, projek baharu melibatkan pembangunan perumahan bercampur dengan tumpuan diberikan kepada kediaman bertanah yang semakin mendapat permintaan.

 

Katanya, pelancaran baharu itu melibatkan 25% hartanah berharga di bawah RM500,000, 33% di antara RM500,000 ke RM1 juta dan baki 42% lagi melibatkan perumahan berharga lebih RM1 juta.

 

Mengikut pecahan produk, 65% projek itu melibatkan kediaman bertanah, 13% perumahan mampu milik atau perumahan kos rendah, 12% melibatkan lot komersial, 5% adalah untuk apartmen servis, 3% adalah kondominium dan 2% lagi adalah hartanah industri. 

 

"SP Setia sedang merangka kerjasama strategik bersama pelabur yang berminat dengan amalan alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) bagi pembangunan projek di Setia Federal Hill yang menampilkan kosep hijau dan gaya kehidupan lestari," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Siew Teng berkata, para pelabur juga menyuarakan kebimbangan mereka terhadap risiko kenaikan harga barangan pembinaan yang dilihat akan memberikan impak kepada pendapatan SP Setia.

 

Bagaimanapun, kenaikan kos pembinaan itu akan memberikan kesan terhad kepada julat keuntungan dengan mereka menyasarkan untuk mengekalkan pendapatan kasar pada kadar 25%.

 

"Kami percaya Cukai Makmur tidak akan memberi impak negatif kepada SP Setia kerana tiada anak syarikat mereka yang menjana pendapatan melebihan RM100 juta setahun kecuali melibatkan penjualan tanah seperti di Semenyih yang akan berlaku pada tahun kewangan 2022," katanya

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'tambah' terhadap saham SP Setia dengan harga sasaran RM1.81 kerana berjaya mencatakan pertumbuhan jangkaan perolehan sesaham (EPS) selepas penyerahan projek di luar negara selain di dalam negara.

 

SP Setia dijangka menerima manfaat daripada permintaan yang tinggi terhadap bangunan hijau kerana berpengalaman dalam pembangunan seumpama itu selain memiliki kemudahan pembuatan sistem pembangunan perindustrian (IBS). - DagangNews.com