Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Volatiliti - 13 April 2022

Tabung Haji: Laksanakan subsidi tersasar fokus B40, M40

 

 

 

PENGUMUMAN kuota haji sebanyak 1 juta orang untuk jemaah menunaikan haji bagi tahun 2022 ini memberi berita gembira kepada semua umat Islam di seluruh dunia termasuk rakyat Malaysia.

 

Namun dalam masa yang sama, pengumuman kos menunaikan haji  bagi jemaah muassasah yang akan meningkat meresahkan rakyat Malaysia.

 

Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah pada tahun ini meningkat sebanyak 12% kepada RM25,000  berbanding RM22,900 sebelum ini.

 

Kenaikan ini adalah susulan kenaikan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.

 

Peningkatan ini mengambil kira kenaikan cukai tambah nilai (VAT) daripada 5% kepada 15% dan beberapa caj perkhidmatan tambahan lain.

 

Kenaikan  hampir kesemua perkhidmatan itu disediakan oleh Kerajaan Arab Saudi terkesan dengan kenaikan Cukai Tambah Nilai dan kadar inflasi di sana.

 

Berapa subsidi TH tanggung?

Tahukah kita berapa jumlah subsidi yang TH tanggung bagi seorang jemaah muassasah yang menunaikan haji. Kenaikan kos haji ini sudah juga beberapa kali meningkat, namun TH masih lagi mengekalkan bayaran yang sama kepada jemaah haji.

 

Bayaran haji masih kekal RM9,980 dan kos sebenar adalah RM22,900. Maka secara matematiknya, TH menanggung subsidi sebanyak RM12,920 atau 56% daripada kos haji.

 

Jumlah ini menunjukkan yang TH memberi subsidi lebih separuh daripada jumlah kos sebenar bagi seorang jemaah yang ingin menunaikan haji.
 

 

volatiliti

 

Kos yang terlibat dalam menunaikan haji

Dalam menguruskan pengurusan haji, terdapat banyak kos yang perlu diambil kira oleh TH. Kos langsung yang dibayar bagi mendapatkan perkhidmatan untuk menunaikan ibadat haji seperti kos penerbangan dan penginapan yang merangkumi kira-kira 70% daripada kos keseluruhan menunaikan haji.

 

TH juga perlu menanggung  kos lain termasuk kos  makanan, pengangkutan bas, khemah di Arafah dan Mina serta perkhidmatan Mutawif sepanjang menunaikan haji antara 40 hingga 45 hari.

 

Selain dari kos-kos langsung, TH turut menanggung sepenuhnya kos tidak langsung yang meliputi kursus-kursus persediaan haji, penerbitan buku panduan, perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan petugas-petugas haji.

 

Setiap tahun TH membelanjakan hampir RM60 juta setiap musim haji bagi kos tidak langsung ini sahaja.

 

TH sentiasa diiktiraf pengurusan haji terbaik di dunia

Dalam apa juga kekangan kos yang meningkat dan isu pemberian subsidi haji ini, TH tetap komited menguruskan pengurusan haji.

 

TH sentiasa dipilih menduduki tangga pertama dari segi pengurusan jemaah haji oleh Muassasah Adilla, iaitu institusi di bawah Kementerian Haji Arab Saudi.

 

Persiapan TH untuk menguruskan operasi haji pada setiap tahun merangkumi tiga aspek iaitu bakal haji, petugas haji dan infrastruktur serta logistik di Mekah dan Madinah.

 

TH yang  ditubuhkan pada 1969 dari  idea Almarhum Profesor Diraja Ungku Aziz ini sentiasa memberi perkhidmatan yang terbaik.

 

TH yang ditadbir berdasarkan kepada Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) dan perintis dalam institusi kewangan Islam bagi memudahkan umat Islam menyimpan untuk tujuan mengerjakan Haji. Dari dahulu hingga kini yang sudah melangkaui 53 tahun TH menjalankan fungsi utama dengan baik sekali.

 

volatiliti

 

Mampukah TH tambah subsidi lagi?

Dalam isu subsidi ini, kita perlu  melihat dengan lebih jauh dan rasional. Pastinya kita katakan, yang TH perlu menanggung subsidi ini supaya tidak membebankan rakyat dengan kos haji yang meningkat ini.

 

Dari sudut pandang berbeza, kita seharusnya memandang kestabilan sesebuah organisasi dan kita janganlah bebankan institusi Islam itu kerana TH juga sama seperti syarikat lain yang perlu berniaga atau melabur untuk dapatkan keuntungan.

 

Namun begitu, TH bukan boleh lepas tangan begitu sahaja dalam isu kos haji yang akan sentiasa meningkat dan pemberian subsidi ini.

 

Kedudukan kewangan terkini TH

Kedudukan kewangan TH kukuh dengan aset berjumlah RM88.73 bilion melebihi liabiliti berjumlah RM85.51 bilion pada 31 Disember 2021. 

 

Jumlah simpanan deposit yang dijamin oleh Kerajaan telah mencecah RM83.33 bilion dan merupakan jumlah simpanan yang tertinggi dalam sejarah TH sejak penubuhannya.

 

Seiring dengan langkah penjimatan dan pengurusan kewangan yang berhemah, kos operasi TH telah menurun sebanyak 4% berbanding tahun 2020 hasil daripada langkah pengurusan kewangan yang berhemah. 

 

volatiliti

 

Mengimbangi perniagaan dan menstruktur perbelanjaan

Jika TH masih “mahu” membantu rakyat dengan dengan memberi subsidi melebihi 50% ini, TH perlu mengimbangi perniagaan dan pelaburan mereka kembali.

 

Pengurusan TH juga perlu melihat secara holistik dalam semua perniagaan dan pelaburan TH  supaya mencatatkan keuntungan yang baik dan bukannya mengalami kerugian. TH perlu mengambil langkah langkah proaktif dengan mengkaji semula pelaburan yang tidak wajar dan mengakibatkan kerugian seperti hartanah dan perhotelan pasca pendemik ini.

 

Model perniagaan dan pelaburan baharu yang lebih berdaya saing perlu dilaksanakan supaya TH boleh mencatatkan keuntungan yang maksimum dan dalam masa yang sama melepaskan pelaburan yang berisiko.

 

Jika TH mampu mencatat keuntungan yang baik, rasanya TH tiada masalah untuk meneruskan pemberian subsidi kepada rakyat yang mahu menunaikan haji.

 

Pelaburan hartanah perlu dinilai semula

Pelaburan hartanah TH bersama Abraj adalah syarikat usaha sama 50:50 yang sebagai sebahagian dari pelaburan dalam industri hartanah. Pada awal penubuhannya, Abraj telah menunjukkan prestasi yang baik dan telah memberi dividen kepada pemegang sahamnya;

 

Kini, kedudukan kewangan Abraj semakin kurang baik dan  ia  tidak mampu menjana pendapatan yang cukup untuk membayar pembiayaan bank. Ini disebabkan salah satu penyewa utama telah berpindah ke tempat lain menyebabkan satu bangunan kosong tersebut kosong. Dalam hal ini, TH menanggung kerugian nilai pelaburan berjumlah RM40.25 juta pada tahun 2019.

 

volatiliti

 

TH Perlu berhati-hati dalam perniagaan perhotelan

Dalam memaksimumkan keuntungan untuk jangka masa akan datang, TH perlu lebih berhati-hati dalam perniagaan dan pelaburan perhotelan. Seperti yang kita tahu, fasa endemik kini membuka peluang yang baik kepada industri perhotelan, namun begitu TH perlu lebih berhati-hati.

 

Pandemik COVID-19 telah banyak menyebabkan banyak hotel di seluruh dunia termasuk Malaysia “jatuh bankrap”. Ini kerana industri perhotelan menanggung kos operasi yang tinggi.

 

Terbaru,TH  bersama Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) memaklumkan bahawa operasi di hotel-hotel yang telah dipindah milik daripada TH kepada UJSB. Antara yang hotel TH yang dipindah milik operasinya ialah TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Bayan Lepas,  TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Kuala Terengganu.

 

Kesemua hotel ini adalah sebahagian daripada pemindahan aset yang terdiri daripada 29 aset hartanah, 1 syarikat tidak tersenarai dan pegangan ekuiti yang mempunyai nilai semasa sebanyak RM9.63 bilion pada hari pemindahan. UJSB telah menerbitkan sukuk sejumlah RM19.6 bilion dan membayar RM300 juta tunai bagi melengkapkan transaksi ini.

 

Langkah ini dilihat sangat baik buat TH dan ia merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan Semula dan Penstrukturan TH.

 

Subsidi Tersasar 

Jika mahu menunggu keuntungan dari perniagaan dan pelaburan yang TH buat mungkin dalam tempoh jangka masa panjang baharulah TH boleh membuat keputusan dalam isu subsidi ini.

 

Dalam keadaan ekonomi secara amnya dalam proses pemulihan ini, pastinya perniagaan dan pelaburan TH juga dalam situasi yang tidak pasti bergantung kepada banyak faktor ekonomi.

 

Namun begitu, sebagai langkah jangka masa pendek yang boleh dilakukan oleh TH jika mahu membantu rakyat adalah dengan melaksanakan subsidi tersasar.

 

volatiliti

 

Subsidi tersasar ini dengan melaksanakan pemberian subsidi kepada rakyat mengikut golongan. Pilih kasih dan adilkah?

 

Ya, ia dilihat lebih baik dengan agihan subsidi ini diberi mengikut golongan masyarakat di mana B40 paling banyak menerima subsidi, M40 sederhana dan T20 paling sedikit. Pastinya golongan yang mempunyai kesukaran untuk menampung kos haji yang semakin meningkat ini adalah golongan B40 dan M40.

 

Subsidi tidak boleh lagi diberi “secara pukul rata”. Dengan mekanisme ini, TH akan menanggung kos yang sama tanpa membebankan TH dan dalam masa yang sama rakyat yang terbeban dapat dibantu dengan subsidi yang lebih baik.

 

Ini dilihat satu mekanisme yang “menang-menang” kepada TH dan rakyat. – DagangNews.com

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags