UniKL catat kadar kebolehpasaran graduan lebih 97% - Mahdzir | DagangNews Skip to main content

UniKL catat kadar kebolehpasaran graduan lebih 97% - Mahdzir

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) memasyhurkan Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Pro-Canselor baharu UniKL pada Majlis Konvokesyen Ke-17 & 18 UniKL 2022 hari ini.

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berjaya mencatat kadar kebolehpasaran graduannya sebanyak 97.1% pada 2021 dan 96.1% berbanding tahun sebelumnya walaupun situasi ekonomi global mencatatkan pertumbuhan negatif dalam tempoh itu.


 
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, UniKL kini berada dalam kelompok 15 universiti terbaik di Malaysia mengikut ranking universiti terbaik dunia yang diumumkan Times Higher Education dan QS.

 

"Kadar kebolehpasaran graduan kesemua 12 kampus UniKL tersenarai di kedudukan 20 tertinggi dalam kalangan universiti dan kolej swasta menerusi laporan kajian pengesanan graduan (tracer study) yang dijalankan Kementerian Pengajian Tinggi.


 
"Tiga buah pusat UniKL bagi teknologi rel, robotik dan satelit pula diiktiraf sebagai TVET Collaboration Hub (TCH) di bawah Majlis TVET Negara, manakala UniKL MIIT pula diiktiraf sebagai Premier Digital Tech Institution daripada MDEC (Malaysia Digital Economy Corporation)," katanya.


 
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Ke-17 & 18 UniKL 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

 

Menurut Mahdzir, sebagai pelopor bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional Tinggi (H-TVET) negara, UniKL akan terus mengembangkan program latihan dalam bidang teknologi baharu.

 

“Kerajaan akan terus membantu perkembangan TVET yang diterajui UniKL termasuk membuka kampus baharu di Perlis dan Pahang dalam bidang Logistik Lestari, Kejuruteraan Air, Teknologi Pertanian dan Teknologi Bangunan, selain UniKL juga bercadang membuka sebuah kampus satelit di Sabah," katanya.

 

 

mahdzir

 

 

Beliau berkata, UniKL sedang mempertimbangkan cadangan pembinaan sebuah kampus baharunya di ibu negara bagi menyokong misi pengantarabangsaan UniKL. 

 

"Misi itu mampu melonjakkan lagi peranan UniKL dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara termasuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa ke Malaysia. Sejak penubuhannya pada 2002, UniKL telah melahirkan sejumlah 73,317 graduan," katanya.

 

 

mahdzir
Datuk Seri Mahdzir Khalid

 

 

Katanya, UniKL turut berbangga dengan pencapaian 241 graduannya dari tahun 2016 hingga 2021 yang dapat menembusi pasaran kerja di luar negara.

 

Sementara itu, Majlis Konvokesyen Ke-17 & Ke-18 UniKL membabitkan keseluruhan 10,547 graduan iaitu 5,338 graduan untuk tahun 2020 dan 5,209 graduan tahun 2021. Ia termasuk 137 pelajar antarabangsa dari 28 buah negara.

 

 

mahdzir

 

 

Konvokesyen UniKL tahun ini juga mencatat sejarah apabila seramai 70 graduan sulung program Huffaz Profesional menamatkan pengajian akademik dan hafazan Al-Quran.


 
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selaku Tuanku Canselor UniKL dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat mencemar duli ke majlis berkenaan.

 

 

mahdzir

 

 

Terdahulu, Mahdzir menerima watikah pemashyuran sebagai Pro Canselor UniKL daripada Seri Paduka.


 
Beliau turut merafak sembah menjunjung kasih atas limpah perkenan Tuanku Canselor UniKL atas lantikan itu.

 

"Sesungguhnya perkenan Tuanku Canselor itu datang bersama tanggungjawab yang besar bagi patik untuk memastikan agar UniKL selaku APEX pendidikan TVET milik penuh MARA (Majlis Amanah Rakyat) ini menjadi sebuah institusi pendidikan tinggi negara terkemuka dunia satu hari nanti," katanya. - DagangNews.com