Untung bersih Duopharma Biotech meningkat kepada RM16.31 juta pada suku kedua | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Duopharma Biotech meningkat kepada RM16.31 juta pada suku kedua

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Untung bersih Duopharma Biotech Bhd. meningkat 6% kepada RM16.31 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 daripada RM15.39 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya berikutan jualan yang lebih baik dalam segmen klasik beretika dan sektor kesihatan awam dalam tempoh berkenaan.

 

Bagi tempoh itu, pendapatan kumpulan meningkat 17% kepada RM181.74 juta daripada RM155.44 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Ini menyaksikan pendapatan sesaham meningkat kepada 1.72 sen berbanding tahun sebelumnya, 1.63 sen.

 

Syarikat telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 0.5 sen sesaham berjumlah kira-kira RM4.762 juta untuk tempoh kewangan semasa berakhir 30 Jun 2022 (2021: dividen interim sebanyak 0.5 sen sesaham bersamaan dengan kira-kira RM3.532 juta).

 

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2022, untung bersih kumpulan meningkat kepada RM36.6 juta daripada RM33 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021 manakala pendapatan juga meningkat kepada RM367.68 juta berbanding RM321.89 juta.

 

Pengarah Urusan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar optimis prestasi kumpulan untuk baki tahun ini, disokong oleh momentum pertumbuhan positif yang dilihat dalam ekonomi Malaysia berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa, serta peningkatan peruntukan belanjawan kerajaan dalam segmen farmaseutikal.

 

Katanya, tender kerajaan bernilai RM375 juta bagi membekalkan Insugen-Insulin Recombinant Human Formulation selama tiga tahun sehingga 2025 dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan masa depan kumpulan, di samping lanjutan kontrak bagi membekalkan produk farmaseutikal dan bukan farmaseutikal kepada hospital dan klinik kerajaan sehingga akhir tahun ini. 

 

"Dalam jangka panjang, kami sentiasa meneroka peluang baharu untuk mengembangkan portfolio produk kami dalam sektor kesihatan dan kesejahteraan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk tawaran sedemikian dalam masyarakat yang semakin berusia.

 

"Kami juga sedang mencari potensi melaksanakan penggabungan dan pengambilalihan (M&A) di ASEAN untuk meningkatkan pendapatan luar negara," katanya. 

 

Duopharma Biotech baru-baru ini mengumumkan kerjasama dengan syarikat teknologi makanan The Live Green Co. dari Amerika Syarikat untuk bersama-sama meneroka pembangunan makanan kesihatan berasaskan tumbuhan dan farmaseutikal dengan menggantikan bahan berasaskan haiwan, sintetik atau ultra-diproses. 

 

Kerjasama itu akan melibatkan penyelidikan dan pembangunan dengan matlamat untuk mencipta rangkaian baharu makanan berfungsi tumbuhan sahaja untuk memenuhi keperluan pesakit dengan keperluan pemakanan khas.- DagangNews.com