PERUBAHAN teknologi yang berlaku secara mendadak pada masa kini bukan sahaja telah mengakibatkan pelbagai sektor industri telah menerima kesannya, tetapi juga ia menyebabkan pola kehidupan manusia turut berubah.
Malah, dalam konteks industri penyiaran, kemajuan teknologi khususnya era digital yang berlaku pada zaman revolusi industri 4.0 masa kini telah memperlihatkan perkembangannya berlaku dengan sangat pantas.
Ketua Bahagian Akademik Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Kumaran Subarmaniam berkata, sektor industri penyiaran di negara ini harus bergerak seiring dengan perkembangan teknologi yang berlaku agar tidak ketinggalan.
Menurut beliau, IPPTAR sendiri selaku institusi pendidikan dan latihan yang berkait rapat dengan industri penyiaran juga sudah mula melangkah ke arah pendigitalan bagi membolehkan kursus-kursus yang ditawarkan adalah seiring dengan keperluan zaman.
“Teknologi penyiaran saban tahun akan berubah dan semakin canggih, malah persepsi dan permintaan daripada pengguna atau audiens juga akan berubah dari masa ke masa.
“Jadi dengan adanya teknologi penyiaran yang bersesuaian dan menepati piawaian antarabangsa sama ada dari segi audio, visual, grafik dan sebagainya, kita akan gunakan dan kacukkan dengan kreativiti yang kita miliki.
“Ia bagi membolehkan kandungan yang kita tawarkan boleh berada di semua platform media yang sesuai bagi menarik minat penonton dan pengguna,” katanya dalam satu temubual khas yang diadakan baru-baru ini.
Menurut Kumaran lagi, perkembangan teknologi yang berlaku dalam industri juga telah menyebabkan IPPTAR turut melaksanakan penambahbaikan dalam penawaran modul dan latihan kepada para peserta.
Malah jelas beliau, setiap tahun pihaknya akan melaksanakan semakan dan kajian mengenai keberkesanan modul yang ditawarkan agar ia benar-benar menepati piawaian dan kehendak industri, selain selaras dengan perkembangan teknologi yang berlaku.
“Sebagai contoh pada tahun ini, IPPTAR telah bekerjasama dengan UiTM (Universiti Teknologi Mara) untuk mereka laksanakan kajian berkaitan modul kursus penerbitan dokumentari.
“Kajian tersebut dilakukan secara menyeluruh, termasuklah mengenai kepuasan pelatih terhadap kursus yang ditawarkan, kesesuaian modul untuk diaplikasi dalam kerjaya, prestasi tenaga pengajar, serta kesesuaian peralatan yang digunakan.
“IPPTAR juga akan melakukan kaji selidik melibatkan majikan mereka mengenai prestasi pelatih sebelum dan selepas menyertai kursus sama ada berlaku peningkatan dari segi kemahiran, pengetahuan, sikap dan sebagainya.
BACA JUGA: IPPTAR tawar 80 kursus tingkatkan kemahiran dalam bidang teknologi penyiaran
“Ia penting untuk dijadikan panduan kepada kami dalam menentukan keberkesanan modul kursus yang ditawarkan, selain menentukan sama ada ia boleh terus ditawarkan pada tahun-tahun mendatang atau perlu dipinda, ditambahbaik atau digugurkan,” ujarnya.
Selain penambahbaikan modul kursus katanya, IPPTAR juga turut menjalinkan kolaborasi dengan pakar-pakar industri termasuk dari sebuah universiti media terkemuka di Australia untuk memberi latihan kepada peserta kursus.
Ia katanya, bagi membolehkan para peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya sama ada penerbit rancangan, jurutera penyiaran atau pemain industri mendapat input terkini berhubung trend penerbitan dan penyiaran yang diguna pakai di peringkat antarabangsa pada masa kini.
Dalam pada itu, menurut Kumaran lagi, Media City atau Bandar Media yang terletak di Angkasapuri, Kuala Lumpur yang akan dirasmikan tidak lama lagi juga merupakan satu penanda aras kepada IPPTAR untuk terus melakukan penambahbaikan dalam konteks modul dan kursus yang ditawarkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Kumaran guna pengalaman bantu IPPTAR muncul sebagai penyedia latihan terunggul industri penyiaran
Malah kata beliau, pihaknya juga akan mengkaji dan meneliti bentuk revolusi teknologi penyiaran yang diguna pakai di Media City termasuklah dari segi peralatan, teknologi perisian selain penyediaan kandungan.
“Saya yakin program-program dan kandungan penyiaran yang akan dihasilkan di bawah Media City akan menjadi ‘trendsetter’ kepada industri penyiaran bukan sahaja di negara ini, tetapi juga di rantau Asia Tenggara.
“Atas dasar itulah kami di IPPTAR cuba sedaya upaya untuk kekal selari dengan perkembangan teknologi penyiaran yang ada di Media City.
“Kita mahu menyediakan pemain industri yang bukan sahaja berpengalaman dan berpendidikan formal, tetapi juga mampu memperbetulkan ekosistem penyiaran di negara ini agar ia selari dengan piawaian antarabangsa,” katanya. – DagangNews.com