Bayar zakat, bantu kurangkan bayaran kepada LHDN | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 11 Aug 2023 09:55 AM

Bayar zakat, bantu kurangkan bayaran kepada LHDN

 

 

 

ZAKAT adalah rukun Islam dan merupakan ketetapan yang mutlak. Cukai pula perkara baharu, bersifat mendatang dan perkara ijtihadi. Menolak zakat sebagai elemen syariat, membawa kepada kekufuran di sisi Allah SWT.

 

Tindakan segelintir individu yang menyamakan zakat sebagai elemen cukai dalam Islam juga merupakan suatu kesalahan dan kurang tepat. Keimanan seseorang tertakluk kepada keimanan terhadap kewajiban zakat.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (Surah al-Baqarah: 277)

 

Zakat bermaksud kewajipan secara khusus dalam agama yang bermaksud sesuatu hak yang tertentu berdasarkan kadar tertentu dalam harta umat Islam yang ditunaikan kepada golongan tertentu dengan syarat yang tertentu, bertujuan untuk mensyukuri nikmat Allah SWT serta ‘taqarrub’ (hampirkan diri) kepadaNya dalam erti menyucikan jiwa dan harta.

 

Sementara cukai pula, menurut al-Marhum Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitab ‘Fiqh al-Zakah’ ialah kewajipan (kewangan) yang dilazimkan kepada rakyat untuk membayarnya kepada pihak pemerintah (negara) mengikut kadar yang tertentu dengan melihat kepada keperluan dan manfaat yang bakal dilaksanakan oleh pihak pentadbiran negara bagi memenuhi keperluan umum rakyat di dalam sebuah negara dan bagi merealisasikan sebahagian dari perancangan dan penstrukturan ekonomi, kemasyarakatan, politik dan pentadbiran dan lain-lain tujuan demi kemaslahatan umum yang menjadi agenda sesebuah negara.


 

lhdn

 


Selain itu, cukai boleh didefinisikan sebagai satu bayaran yang wajib tetapi bukannya denda yang dikenakan oleh kerajaan ke atas penggunaan pendapatan, kekayaan atau asas-asas lain untuk faedah rakyat bersama. Hasil kutipan cukai biasanya digunakan oleh kerajaan untuk mengurus, mentadbir dan membangunkan negara

 

Cukai pendapatan yang pertama diperkenalkan di Persekutuan Tanah Melayu pada 1947 di bawah Ordinan Cukai Pendapatan 1947. Ordinan Cukai Pendapatan yang pertama diperkenalkan di Sabah pada 1957 dan di Sarawak pula pada 1961.

 

Secara tidak langsung, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak mepunyai Ordinan Cukai Pendapatan tersendiri. Bagi tujuan penyelarasan, pada tahun 1967, Parlimen memperkenalkan Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 yang berkuatkuasa di seluruh Malaysia mulai 1 Januari 1968.

 

Cukai pendapatan di Malaysia bersifat kewilayahan yang bermaksud cukai dikenakan ke atas pendapatan yang bersumber dari Malaysia. Pendapatan yang bersumber dari luar Malaysia akan dikenakan cukai sekiranya dibawa masuk ke Malaysia dan diperolehi oleh mereka yang bermastautin di Malaysia sahaja. Mereka yang tidak bermastautin tidak dikenakan cukai terhadap pendapatan yang dibawa masuk ke Malaysia

 

Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP), Seksyen 6A (3), memberi keistimewaan kepada orang-orang Islam iaitu: ‘Rebat hendaklah diberikan pada tahun tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarnya wajib dan yang sudah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang undang bertulis.’

 

Rebat ialah jumlah cukai yang dikurangkan melalui bayaran zakat. Semakin tinggi jumlah zakat, maka semakin sedikitlah potongan cukai. Sekiranya jumlah zakat menyamai atau melebihi cukai, maka seseorang itu tidak perlu lagi membayar cukai pendapatannya. Menurut ACP 1967, Seksyen 6A (3) di atas, tidak dinyatakan jumlah amaun tertentu atau batas amaun dalam rebat ke atas cukai.

zakat

Ini menunjukkan bahawa selagi pembayaran itu dibuat atas nama pembayaran wajib di sisi agama iaitu zakat, maka ia masih dikira sah untuk memperoleh rebat ke atas cukai berkenaan. Pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumi hal ini. Maka, rebat akan diberikan oleh LHDN berdasarkan tarikh resit zakat yang dibayar di dalam tahun taksiran cukai pendapatan (iaitu tahun semasa). Ini bermakna, jika seseorang itu membayar zakat pada tahun taksiran 2022, maknanya rebat akan diberikan pada tahun berkenaan sahaja.

 

Mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 terdapat peruntukan bahawa setiap mereka yang telah membayar zakat boleh dikecualikan atau mendapat pelepasan kadar tersebut dari membayar cukai pendapatan. Untuk mendapatkan pengecualian tersebut, perkara yang perlu dibuktikan ialah:

 

i.               Pembayaran dibuktikan dengan resit yang dikeluarkan oleh pihak yang diberi kuasa untuk memungut zakat.

ii.              Zakat dibayar kepada amil-amil yang diiktiraf dan dilantik oleh pemerintah.

 

Selanjutnya, menurut Akta Cukai Pendapatan (Pindaan 2000) sekiranya seseorang individu telah membayar zakat pada 2000, maka pelepasan cukai akan diberikan pada tahun yang sama.

 

Perlu diingatkan dan ditegaskan kepada para pembayar cukai haruslah peka ke mana wang zakat itu dibayar kerana pihak LHDN hanya mengambil kira amil zakat bertauliah sahaja.

 

Pihak LHDN tidak akan melayan sebarang tuntutan rebat yang dibayar kepada amil-amil zakat yang tidak bertauliah, serta pengagihan zakat yang dilakukan secara persendirian.

 

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

 

irsyad