Kemiskinan daripada perspektif konvensional dan Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 22 Sep 2023 07:00 AM

 

Kemiskinan daripada perspektif konvensional dan Islam

 

 

 

PEMBASMIAN kemiskinan merupakan agenda pembangunan negara terpenting bagi mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi.

 

Ketidaktepatan menentukan konsep serta pengukuran yang sesuai bagi membasmi kemiskinan akan mengakibatkan polisi dan program yang telah dirancang menjadi tidak bernilai.

 

Sebaliknya memberikan kerugian kepada negara kerana berlaku pembaziran wang, tenaga dan masa. Kemiskinan merujuk kepada ketidakupayaan mencapai taraf keperluan hidup yang minimum.

 

Terdapat perspektif yang menyatakan konsep kemiskinan terbahagi kepada dua iaitu kemiskinan mutlak dan relatif. Kemiskinan mutlak diukur berdasarkan pendapatan dan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Konsep kemiskinan mutlak tidak mengambil kira persoalan kualiti hidup atau ketidakadilan agihan kekayaan dalam masyarakat.


 

parafrasa

 


Konsep ini menumpukan kepada nasib individu atau isi rumah yang tidak mampu untuk memenuhi keperluan asas dan bantuan adalah sekadar memenuhi kehendak minimum.

 

Sementara konsep kemiskinan relatif pula melihat hubungan status ekonomi individu dalam masyarakat dalam konteks agihan pendapatan berdasarkan kepada etnik dan kawasan.

 

Keperluan hidup masyarakat di bandar lebih tinggi berbanding dengan masyarakat di luar bandar dan mempunyai jurang pendapatan yang jauh berbeza antara etnik di bandar. Ini menyebabkan kemiskinan di bandar lebih serius berbanding dengan luar bandar dan kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) juga lebih tinggi.

 

Selain itu, kemiskinan juga didefinisikan sebagai miskin kronik dan miskin sementara. Rafael dan Machado telah menjelaskan bahawa kemiskinan kronik adalah kehidupan seseorang individu dalam kemiskinan jangka masa yang panjang.

 

Manakala, kemiskinan sementara adalah kemiskinan yang disebabkan oleh ketidak stabilan pendapatan isi rumah yang berhubungkait dengan keadaan ekonomi semasa.

 

Selain itu terdapat juga kemiskinan “invisible poor” iaitu golongan yang berpendapatan tetap tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup seperti makan minum, pakaian, pendidikan, sewa rumah dan sebagainya. Begitu juga terhadap mereka yang diisytiharkan muflis oleh mahkamah juga diistilahkan miskin kerana tidak mempunyai kuasa berbelanja dan menguruskan aset.

 

Tafsiran dan definisi miskin mempunyai pelbagai konsep dan istilah, namun dalam Islam kemiskinan dikategorikan sebagai fakir dan miskin. Pendefinisian fakir dan miskin telah dibahaskan oleh para ulama mazhab.


 

irsyad

 


Para ulama fiqh berbeza pendapat tentang keadaan golongan mana yang paling teruk atau parah kemiskinannya. Mazhab Syafie dan mazhab Hanbali berpendapat bahawa orang fakir keadaannya lebih teruk keadaannya berbanding miskin.

 

Seterusnya, mazhab Hanbali menjelaskan bahawa fakir ialah mereka yang tidak mempunyai harta atau tidak mempunyai separuh daripada ukuran keperluan asasi berdasarkan had al-kifayah. Miskin pula ialah mereka yang hanya mencapai separuh atau lebih sedikit had al-kifayah tersebut namun belum sempurna sepenuhnya.

 

Kedua mazhab ini sependapat bahawa orang fakir adalah orang yang tidak memiliki harta sama sekali dan tidak memiliki mempunyai pekerjaan yang membolehkan mereka memenuhi keperluan hidup. Sebaliknya orang miskin adalah orang yang memiliki harta namun tidak mencukupi untuk memenuhi keperluannya.

 

Namun pendapat dua mazhab Syafie dan Hanbali ini bercanggah dengan mazhab Hanafi dan Maliki yang mana orang miskin adalah lebih parah keadaaannya berbanding fakir.

 

Sementara, mazhab Maliki menjelaskan terdapat dua pandangan yang mentafsirkan golongan fakir dan miskin. Pandangan pertama menyatakan fakir sebagai mereka yang memiliki harta tetapi tidak mencukupi kadar keperluan asasi untuk tempoh setahun sementara miskin pula ialah mereka yang tidak memiliki harta langsung. Pandangan kedua pula menyatakan kedua-duanya adalah sama.

 

Selain itu, mazhab Hanafi pula menjelaskan terdapat beberapa pandangan antaranya daripada al-Hasan yang menyatakan miskin lebih teruk kerana meminta-minta berbanding fakir.


 

irsyad

 


Pandangan kedua daripada Qatadah, mengatakan golongan fakir lebih teruk kerana ditimpa kesusahan yang berpanjangan berbanding miskin yang sementara. Pandangan ketiga menyatakan fakir lebih baik kerana memiliki harta yang mencukupi keperluan asasi. Manakala miskin pula ialah mereka yang tidak mempunyai sebarang harta.

 

Demikianlah, perbezaan perspektif berkaitan kemiskinan menurut Islam dan konvensional yang telah menjadi asas kepada memahami konsep dan pembahagian kemiskinan di kebanyakan negara. - DagangNews.com

 

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

 

 KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

irsyad