Pendefinisian Asnaf Amil menurut Ulama Mazhab dan Ulama Semasa | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 16 June 2023

Pendefinisian Asnaf Amil menurut Ulama Mazhab dan Ulama Semasa

 

 

 

MENURUT kamus Arab iaitu ‘Mu‘jam al-Wasit’, perkataan amil ini diambil secara langsung daripada bahasa arab yang bermaksud pekerja. Menurut tatabahasa arab, amil berasal daripada perkataan ‘amala’ yang bermaksud kerja.

 

Maka, perkataan amil yang merupakan ‘isim fa‘il’ (pelaku) membawa makna orang yang bekerja di dalam bidang pekerjaannya atau perusahaannya. Maksud yang lebih khusus, amil ialah orang yang mengambil zakat dari pemilik harta atau pemeliharaannya.

 

Manakala menurut istilah pula, Ibn Qudamah mendefinisikan amil sebagai golongan yang diutus imam (pemerintah) untuk mengambil zakat dari pemiliknya, mengumpulnya, menjaganya dan mindahkannya.

 

Seterusnya, al-Bahuti pula mengatakan bahawa amil itu ialah pengutip, penulis, pembahagi dan pengumpul zakat wakil kepada imam (pemerintah), tetapi bukan qadhi atau wali.

 

Selain itu, al-Qaradawi menjelaskan bahawa amil ialah setiap individu yang bekerja di bahagian pentadbiran zakat daripada pengutip yang mendapatkan zakat, pengawal yang menjaga dan menyimpan harta zakat, penulis, pengira dan pembahagi zakat kepada asnaf yang layak.


 

maim
Antara tugas dan peranan seorang amil. Gambar ihsan Majlis Agama Islam Melaka

 


Setiap individu ini mendapat ganjaran daripada harta zakat agar mereka mengambil zakat daripada pemiliknya dan sebagai pemberi ingatan.

 

Walaupun perkataan amil bermaksud pekerja atau orang yang melakukan sesuatu perbuatan, namun istilah tersebut tidak digunapakai secara meluas melainkan berkaitan zakat sahaja sama ada dalam konteks senarai penerima zakat atau pentadbiran zakat.

 

Istilah amil telah diungkapkan dengan jelas oleh Allah SWT di dalam al-Quran ketika menerangkan tentang golongan yang berhak menerima zakat.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya (penguatkuasa yang mengumpulkan zakat), dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah, dan orang-orang musafir yang keputusan dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan yang datangnya dari Allah, dan ingatlah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Taubah: 60)

 

Menurut al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya Jami’ al-Ahkam al-Quran menjelaskan perkataan amil dalam ayat di atas bermaksud orang yang bekerja, merujuk kepada individu atau kumpulan yang kerjanya menyempurnakan fardhu kifayah sebagai pemungut, pencatat, penjumlah, pengumpul dan penjaga zakat yang berhak mendapat upah.

 

Keprihatinan Nabi SAW terhadap kewujudan dan pengiktirafan terhadap golongan amil boleh dilihat melalui hadis Nabi SAW yang membandingkan ganjaran amil yang setara dengan golongan yang berjuang dan berjihad di jalan Allah SWT.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Amil (pegawai zakat yang berkhidmat mengutip dan mengagihkan) sedekah (zakat) dengan hak (adil dan telus) akan mendapat pahala sebanding dengan pahala tentera (mujahid atau ghazi) yang berjuang di jalan Allah sehingga dia kembali ke rumahnya.” (Riwayat Abu Daud)

 

Istilah lain bagi amil juga disebut sebagai ‘su‘ah li jibayati al-zakah’ (orang yang berkeliling untuk mengumpulkan zakat). Istilah ini selari dengan tugasnya iaitu berkeliling secara aktif mengumpulkan harta zakat dari individu yang wajib menunaikan zakat.

 

Selain itu juga berkeliling untuk mengagihkan harta zakat kepada ‘mustahiq’ (golongan yang berhak menerima harta zakat.


 

Yusuf-Al-Qaradaw
Almarhum Imam Yusuf al-Qaradawi

 


Selain itu, istilah ‘al-jihaz al-idari wal mali li al-zakah’ yang telah dipakai oleh al-Qaradawi dalam bukunya. Maksudnya adalah pegawai pentadbiran dan kewangan harta zakat kerana peranan amil zakat pada hakikatnya adalah mengumpul data secara pentadbiran berkaitan setiap individu yang wajib menunaikan zakat dan golongan yang berhak menerima zakat.

 

Setiap amil yang dilantik perlu memenuhi empat syarat iaitu seorang Muslim, mukallaf, sihat tubuh badan dan berpengetahuan mengenai hal ehwal zakat sebelum menggalas tanggungjawab.

 

Amil zakat bukan sekadar individu tetapi juga merupakan institusi yang berperanan menyempurnakan ibadah zakat. Institusi arnil melakukan pelbagai tugas berkaitan zakat yang memerlukan gabungan beberapa jenis kepakaran.

 

Oleh itu, pembaharuan demi pembaharuan dalam bidang tugas amil perlu dilakukan bagi melancarkan dan melicinkan pengurusan zakat pada era kontemporari melalui penggunaan teknologi dan kreativiti pengurusan organisasi yang efisien dan efektif. - DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags