Pendefinisian Asnaf Mualaf menurut Ulama Mazhab dan Ulama Semasa | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 23 June 2023

Pendefinisian Asnaf Mualaf menurut Ulama Mazhab dan Ulama Semasa

 

 

ASNAF mualaf adalah salah satu golongan yang berhak menerima zakat dalam Islam. Mualaf adalah satu golongan istimewa yang telah dipilih oleh Allah untuk memilih dan mengenal Islam dalam kehidupan.

 

Sehubungan dengan itu adalah menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam untuk menjaga kebajikan dan membimbing golongan mualaf. Terdapat perbezaan pentafsiran definisi mualaf yang boleh mempengaruhi pengurusan agihan zakat.

 

Perkataan ‘mualaf’ telah disebut dalam al-Quran melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk fakir, miskin, amil yang mengurusnya, mualaf yang dijinakkan hatinya, hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah SWT, musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah SWT. Dan (ingatlah) Allah SWT amat mengetahui lagi amat bijaksana” (Surah al-Taubah: 60).

 

Mualaf di dalam ayat tersebut disebut sebagai “mu’allafah qulubuhum” yang merupakan golongan keempat dalam asnaf zakat. Walau bagaimanapun, istilah ini jarang sekali digunakan.

 

Lazimnya, istilah yang sering digunakan ialah mualaf. Kamus Bahasa Arab iaitu ‘Lisan al-‘Arabi’ menjelaskan bahawa perkataan mualaf berasal daripada perkataan Bahasa Arab ‘allafa’ yang bermaksud menjadikan sesuatu angka itu seribu, mengumpulkan sesuatu antara satu dengan yang lain dan mengarang buku.


 

parafrasa

 


Terdapat perbahasan yang panjang berkaitan kepelbagaian tafsiran asnaf mualaf dalam kalangan ulama mazhab dan wujud pandangan yang berbeza dalam menetapkan tafsiran tersebut:

 

1. Mazhab Hanafi

Mazhab ini tidak menjelaskan definisi mualaf secara terperinci dan lebih cenderung untuk membahaskan mengenai pemberian zakat kepada asnaf mualaf. 

 

Maksud ‘muallafatu qulubuhum’ ialah golongan dari kalangan kaum Musyrikin. Allah SWT telah memberikan sesuatu pemberian kepada golongan tersebut zakat bagi tujuan melembutkan hati, ketika umat Islam sedang lemah dan sebaliknya bagi orang kafir.

 

Selepas kewafatan Nabi SAW, orang Islam telah bertambah dan menjadi sebuah agama yang kuat. Justeru itu, gugurlah hak pemberian zakat kepada asnaf mualaf kerana pemberian tersebut bertujuan untuk melembutkan hati terhadap Islam ketika Islam masih lemah.

 

2. Mazhab Maliki

Mereka mengklasifikasikan golongan asnaf muallaf kepada dua golongan iaitu golongan kafir dan golongan Muslim. Pentafsiran yang kedua adalah yang perlu diutamakan.

 

Mualaf ialah orang kafir yang diberikan zakat supaya memeluk Islam. Selain itu, mualaf juga bermaksud orang yang baru memeluk agama Islam, lalu diberikan zakat supaya pegangan agamanya semakin kuat.

 

Berdasarkan kedua-dua pentafsiran tersebut, terdapat dua golongan mualaf iaitu kafir dan muslim. Mazhab Maliki menjelaskan bahawa pemberian zakat kepada kedua-dua golongan ini mempunyai hukum yang berbeza.

 

Hukum memberikan zakat kepada orang yang baru memeluk Islam untuk mengukuhkan imannya adalah kekal dan tidak dimansuhkan.

 

Sementara, ulama berselisih pendapat tentang hukum memberikan zakat kepada orang kafir untuk menggalakkannya memeluk Islam dengan tujuan memberikan zakat kepada mualaf kafir adalah untuk menggalakkan memeluk Islam dengan tujuan menyelamatkan daripada api neraka.


 

parafrasa

 


3. Mazhab Syafie

Mazhab kita pula memperincikan mengenai pentafsiran asnaf mualaf. Mazhab ini menegaskan bahawa mualaf terdiri daripada orang yang telah menganut agama Islam sahaja.

 

Mualaf ialah orang yang dijinakkan atau dilembutkan hatinya yang telah memeluk Islam. Berdasarkan pentafsiran ini, golongan mualaf terbatas kepada orang yang telah memeluk Islam sahaja.

 

4. Mazhab Hanbali

Mereka menjelaskan mualaf boleh terdiri daripada orang kafir atau muslim.

 

Mualaf bermaksud pemimpin kafir yang memimpin suatu kaum atau kumpulan yang diharapkan agar memeluk Islam atau diharapkan supaya menghentikan kejahatannya.

 

Orang Islam yang diharapkan dengan memberinya zakat akan dapat menguatkan keimanannya atau pemimpin muslim yang diharapkan agar para pengikutnya akan memeluk Islam atau menasihatkan dan menggalakkannya supaya berjihad atau membela orang Islam atau menghentikan kejahatannya.

 

Contohnya, Khawarij atau menimbulkan kekuatan untuk mengutip zakat daripada orang yang tidak akan membayar zakat kecuali dengan ugutan dan paksaan.


 

nabawi

 


Demikianlah, keseluruhan mazhab memberikan definisi mualaf dengan menegaskan unsur keagamaan dengan wujudnya objektif pengagihan zakat untuk melembutkan hati dan menguatkan iman. - DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags