Tiga jenis cukai dalam Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 1 September 2023

Tiga jenis cukai dalam Islam

 

 

CUKAI menurut definisi konvensional bermaksud satu bayaran wajib yang dikutip untuk kegunaan sesuatu tujuan yang telah ditetapkan oleh kerajaan yang tidak boleh dipertikaikan oleh rakyat dan bayaran tersebut bukan suatu denda ataupun sesuatu erkhidmatan yang diberikan.

 

Cukai menurut Islam pula tidak mempunyai definisi yang khusus tetapi dibahaskan juga dalam bab tuntutan harta ke atas pemilik-pemilik harta di dalam negara Islam dan seterusnya dikembangkan oleh pakar ekonomi Islam sehingga mempunyai persamaan dengan definisi cukai konvensional.

 

Menurut Abu Yusuf dalam kitabnya ‘al-Kharaj’ menjelaskan bahawa cukai dalam Islam disebut ‘al-dharibah’ yang diambil daripada perkataan asal ‘dharaba’ yang membawa maksud hutang, cukai tanah, dan selainnya.

 

Muhammad Ibn Ya’qub dalam ‘al-Qamus al-Muhit’ menjelaskan maksud ‘al-dharibah’ ialah sesuatu kadar tertentu yang mesti dibayar kerana dikenakan ke atas pendapatan seseorang daripada hasil tanaman atau harta. Cukai dilihat sebagai satu paksaan dan beban yang perlu ditanggung oleh setiap orang yang mempunyai harta dan pendapatan.

 

Selain itu, cukai juga sinonim dengan lafaz ‘al-Kharaj’ yang bermaksud cukai, perolehan, perolehan yang diambil daripada harta atau pendapatan seseorang, pendapatan harta awam, sewaan, perolehan daripada orang perseorangan atau tanah dan juga membawa maksud kadar-kadar tertentu yang dikenakan.


 

irsyad

 


Pada asalnya, lafaz cukai tidak wujud dalam Islam kerana tiada ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW menjelaskan secara literal istilah cukai dan hukum-hakamnya kerana sebahagian besar konsep ‘al-kharaj’ merujuk kepada cukai tanah dan akhirnya diguna pakai sehingga membawa kepada kewujudan jenis cukai-cukai yang lain dalam Islam.

 

Cukai dalam Islam boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu:

 

1. Cukai yang telah disyariatkan oleh Islam ke atas masyarakat Islam iaitu zakat (terdiri daripada zakat harta dan zakat fitrah).

 

2. Cukai dari kategori ‘al-fai’’ yang dikenakan ke atas golongan bukan Islam yang menetap di bawah pemerintahan Islam.

 

Cukai ‘al-fai’’ terbahagi kepada tiga jenis iaitu ‘al-kharaj’ (cukai tanah pertanian milik negara yang diusahakan oleh orang kafir), ‘al-jizyah’ (cukai kepala yang dikenakan kepada lelaki kafir yang berkemampuan) dan ‘al-‘usyur’ (cukai import dan eksport barang dagangan).

 

3. Cukai dari kategori ‘al-khumus’ (satu perlima harta tertentu seseorang yang mesti dibayar sebagai cukai) yang terdiri daripada ‘al-ghanimah’ (harta rampasan yang dibagikan pasca perang di zaman Nabi SAW), ‘al-rikaz’ (harta yang ditemui iaitu merupakan sesuatu harta yang tidak nampak, disorok, ditanam, disimpan dan dipendam oleh seseorang insan sebelumya termasuk emas) dan harta daripada lautan dan sungai.

 

Para ulama berbeza pandangan terhadap pensyariatan atau hukum cukai iaitu menerima dan menolak. Pandangan golongan pertama adalah cenderung untuk menolak pelaksanaan cukai.

 

Pandangan menolak ini dipelopori oleh Ibn Muflih, dan al-Hijawi yang bermazhab Hanbali, Ibn al-Azraq dan Ibn Hajar al-Haytami yang bukan daripada mazhab Hanbali,serta ulama semasa seperti al-Mula al-Harawi al-Qari dan Hafiz Ahmad ‘Ajjah Karami.

 

Hujah golongan menolak ini ialah pemimpin di sesebuah negara diharamkan untuk mengutip sesuatu cukai daripada rakyatnya yang bukan dibenarkan oleh syarak.

 

Selain itu, perbuatan mengutip cukai disifatkan sebagai satu dosa besar malah pengutip dan golongan-golongan yang terlibat dalam proses kutipan cukai juga tergolong dalam pelaku dosa.


 

irsyad

 


Seterusnya, mengutip cukai merupakan satu kezaliman besar kerana ia seperti merampas harta benda seseorang disaat memerlukan untuk kesejahteraan hidup malah perlaksanaan kutipan cukai ini tidak dilakukan semasa zaman Nabi SAW.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang yang beroleh azab seksa yang tidak berperi sakitnya.” (Surah al-Syura: 42)

 

Ayat di atas menunjukkan dan mengisyaratkan pengharaman untuk melakukan kezaliman, dalam konteks percukaian, pengutip cukai merupakan antara golongan yang melakukan kezaliman.

 

Kezaliman pengutip cukai ini bukan sahaja dilihat pada kezaliman terhadap manusia tetapi kezaliman ke atas diri sendiri kerana pengambilan sesuatu harta terhadap seseorang yang tidak mempunyai hak untuk mengambilnya dan menyerahkan kepada yang tidak berhak untuk menerimanya.

 

Manakala, pandangan golongan kedua adalah menerima pelaksanaan cukai oleh pemimpin-pemimpin negara Islam yang telah disyariatkan melalui hasil ijmak dan qias.

 

Tokoh yang berpandangan menerima ini ialah Ibn Hazm, Ibn Taimiyah, Ibn al-Muslim al-Syafie, al-Syatibi, Ibn Khaldun, termasuk ulama iaitu Mahmud Syaltut dan Ahmad al-Raysuni bersetuju bahawa kerajaan diberi kebenaran untuk mengenakan cukai kepada rakyat sekadar untuk membantu memenuhi tuntutan maslahah umum dalam pentadbiran sesebuah Negara.

 

Hujah golongan menerima ini ialah hasil ijtihad para ulama bahawa wujudnya tanggungjawab sosial yang wajib dipenuhi selain daripada membayar zakat seperti persoalan yang dikemukakan kepada Ibnu Umar berkaitan dengan tanggungjawab pada harta.


 

irsyad

 


Ibn Umar menjawab persoalan tersebut dengan mengemukakan hadis Nabi SAW yang dinyatakan oleh Fatimah binti Qais yang bermaksud: “Sesungguhnya dalam harta itu ada hak yang wajib dikeluarkan selain zakat. Kemudian Nabi membacakan surah al-Baqarah ayat 177.” (Riwayat al-Tarmizi)

 

Demikianlah konsep cukai dalam Islam dan perbezaan pandangan para ulama berkaitan penerimaan dan penolakan terhadap cukai dengan mengemukan pelbagai hujah dan justifikasi yang rasional. - DagangNews.com

 

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

 KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

irsyad

 

Portfolio Tags